Anak Jati Selangor Tuntut Keadilan Daripada MB Selangor Khalid Ibrahim Dalam Isu Tee Boon Hock


ronnie

Menurut Tee Boon Hock bersama saksi-saksinya, Ronnie Liu sendiri memberi mandat dan kebenaran untuknya berbuat atas kapasitinya.

By Shen Yee Aun

Saya seorang anak jati Selangor memohon jasa baik Tuan Menteri Besar untuk menguruskan isu Tee Boon Hock dengan adil dan saksama.

Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim telah memecat Ahli Majlis Klang Tee Boon Hock. Menurut Menteri Besar Selangor Tee Boon Hock dipecat atas alasan melanggar kod etika.

Namun begitu, saya diberitahu oleh Tee Boon Hock bahawa beliau tidak pernah dipanggil untuk sebarang siasatan. Keadaan ini menandakan Tee Boon Hock tidak mendapat satu penyisatan yang adil di mana beliau boleh tampi ke depan mempertahankan diri sendiri.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, menjamin seseorang tertuduh itu berhak mendapat perbicaraan yang adil.

Saya tidak menafikan bahawa perbicaraan mahkamah adalah berbeza dengan penyiasatan negeri tetapi objektif dan matlamat murni disebalik perlembagaan ini adalah sama. Jika kerajaan Selangor hendak menunjukkan pembaharuan kepada rakyat dan benar-benar berlandaskan kepada prinsip Keadilan yang cuba dibawah oleh pemerintahan Pakatan Rakyat maka sesiapa sahaja yang bersalah mesti diberi peluang tampi ke hadapan mempertahankan diri.

Saya tertarik untuk menghuraikan lambang idenditi logo Parti KEADILAN.

1. Mata yang terbuka adalah cahaya yang menyuluh perjuangan untuk menegakkan keadilan dan mencerminkan mata hati nurani yang mondorong Parti untuk mencapai perubahan ke arah kebenaran dan keadilan.

2. Lajur merah di kiri dan kanan segi empat tidak sama melambangkan keberanian dan komitmen memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Matlamat Parti KEADILAN yang pertama adalah membentuk masyarakat yang adil.

Jelas menunjukkan parti Menteri Besar sendiri amat mementingkan nilai keadilan. Sedangkan objektif penubuhan asas dan awal KEADILAN adalah untuk menuntut satu perbicaraan yang adil terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim. Laungan ini masih lagi dijerit dan dilaungkan oleh kita sehingga ke detik ini.

Dalam kita sedang menentang ISA kerana dianggap zalim dan menentang hak asasi manusia maka keadaan ini juga sama dengan situasi dimana Tee Boon Hock dinafikan haknya untuk membela diri. Bagaimana kerajaan negeri Selangor boleh membuat kesimpulan sendiri hanya berdasarkan bukti di tangan tanpa memberi peluang kepada tertuduh membela diri?

Prinsip dunia sejagat mempercayai seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Lagipun dalam isu Tee Boon Hock yang dituduh adalah menyalahgunakan kuasa surat EXCO. Namun dalam isu ini polis masih lagi sedang menjalankan siasatan kerana ada bukti baharu yang menunjukkan Ronnie Liu telah lebih awal menyokong surat tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa Ronnie Liu mempertikaikan keaslian surat tersebut namun biar pakar forensik dan pihak polis menyiapkan siasatan mereka terhadap surat tersebut. Jangan lupa Ronnie Liu sendiri berkata kepada media bahawa dia sendiri juga tidak pasti.

Surat tersebut juga ada di tangan saya. Jika kerajaan negeri Selangor mahu surat tersebut boleh terus dapatkan daripada saya untuk penyiasatan yang lebih lanjut dan adil.

Jika benar Ronnie Liu menandatangani surat tersebut maka Tee Boon Hock hanya meneruskan kerja yang dilakukan oleh Ronnie Liu sebelum ini. Lagipun isu yang berlaku kini adalah penyalagunaan surat EXCO.

Menurut Tee Boon Hock bersama saksi-saksinya, Ronnie Liu sendiri memberi mandat dan kebenaran untuknya berbuat atas kapasitinya. Kita kena bezakan antara tandatangan Tee Boon Hock sendiri atas surat sendiri dengan tandatangan Tee Boon Hock atas bagi pihak Ronnie Liu.

Jika tandatangan atas pihak maknanya adalah sokongan Ronnie Liu terus kepada anak Tee Boon Hock dan tidak ada ‘conflict of interest’ di sini. Jika ada ‘conflict of interest’ di sini sekalipun yang seharusnya disabit adalah Ronnie dan bukan Tee Boon Hock kerana Tee Boon Hock menandatangani atas kapasiti Ronnie Liu.

Hal ini disebabkan banyak masalah teknikal berlaku dalam penyiasatan lembagan disiplin DAP. Jika Lembaga Disiplin Selangor pada hari ini adalah sebuah mahkamah maka mereka akan menjadi bahan ketawa dunia atas proses penyiasatan mereka.

Namun seteruk-teruknya penyiasatan lembaga disiplin DAP masih tidak seteruk penyiasatan negeri Selangor yang langsung tidak adil. Hal ini disebabkan Tee Boon Hock tidak pernah disoal siasat oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Keadaan ini lebih teruk daripada penyiasatan Teoh Beng Hock yang mati dibawah penyiasatan SPRM. Sekurang-kurangnya Teoh Beng Hock dapat membela diri sehingga mati.

Kebetulan bulan ini merupakan bulan hantu untuk masyarakat Cina. Tahu atau tidak hantu mana yang paling kesian sekali? Hantu yang mati tanpa tahu sebab mereka dimatikan. Hantu yang mati tanpa diberi sebarang peluang untuk membela dan mempertahankan diri.

Jika sekali pun Kerajaan Negeri ada bukti lain yang mampu membuktikkan Tee Boon Hock melanggari kod etika maka sila tunjukkan kepada Tee Boon Hock dan kepada orang ramai. Jika tidak kita akan menggangap kerajaan Negeri Selangor membuat tindakan atas isu penyalahgunaan surat EXCO.

Jika tindakan dibuat berdasarkan kepada surat tersebut maka boleh disimpulkan bahawa Kerajaan Negeri membuat keputusan sendiri sebelum siasatan dan keputusan selesai dilakukan oleh pihak polis. Ketidakadilan membuat keputusan secara tergesa-gesa oleh negeri Selangor sekali lagi berlaku di sini.

Surat sokongan tidak boleh sesekali dihubung kait dengan rasuah. Jika takrifan kerajaan Negeri Selangor sedemikian maka percayalah tidak lama lagi ramai lagi Ahli Majlis . Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan disabitkan atas kesalahan tersebut. Saya hanya memetik kenyataan awal Menteri Besar sendiri bahawa sokongan dan pengesahan adalah dua perkara yang jauh berbeza.

Saya memohon kerajaan Negeri agar menarik balik permohonan Tee Boon Hock dan melakukan penyiasatan yang lebih lanjut, terperinci dan adil serta saksama terlebih dahulu. Sila soal siasat dan memberi peluang kepada Tee Boon Hock membelas diri terlebih dahulu.

Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikkan bersalah.

Seseorang itu harus diberi hak untuk membela diri dan jangan sesekali kerajaan negeri Selangor mengaplikasikan prinsip dan falsafah ISA dalam penyiasatan anda sendiri.

Jangan lupa nilai, prinsip dan perjuangan Pakatan Rakyat selama ini.

Saya berjanji jika tiada keadilan dalam tindakan Tuan Yang Berhormat Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor untuk menjernihkan kembali isu ini dan kesilapan tergesa-gesa kerajaan Negeri Selangor serta kesilapan besar dalam penyiasatan maka saya akan membawa sebilangan besar anak-anak muda untuk menjelajahi seluruh Selangor berkempen dan berpidato untuk menjatuhkan kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak adil. Percayalah bahawa saya bukan semudah Ezam Mohd Noor walaupun saya bukan sesiapa.

Saya lebih rela membantu kerajaan Barisan Nasional yang menipu dalam perbicaraan berbanding kerajaan Pakatan Rakyat yang langsung tiada hak untuk dibicara.

Saya lebih rela membantu kerajaan Barisan Nasional yang tidak berprinsip berbanding kerajaan Pakatan Rakyat yang menipu rakyat dengan segala laungan prinsip dan perjuangan mereka.

Akhir sekali saya menuntut keadilan untuk Tee Boon Hock. Keputusan patut ditarik balik sehingga siasatan pihak polis selesai. Siasatan pula mesti menyoal siasat tertuduh dan memberi peluang kepada mereka membela diri sebelum menghukum mereka.

 



Comments
Loading...