10,000 helai kertas siasatan polis hilang, dijual bahan kitar semula


By The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Selepas negara dikejutkan dengan pendedahan enjin jet TUDM dicuri dan dijual sebagai barang lusuh, polis Gombak kehilangan kira-kira 10,000 keping kertas siasatan yang dijual kepada kilang kitar minggu lalu.

Sehubungan itu, polis menahan lapan lelaki termasuk empat buruh binaan warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kehilangan kertas siasatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Kertas siasatan itu dikatakan mengandungi rekod kes-kes jenayah IPD itu yang sudah selesai dan menunggu kelulusan untuk dilupuskan.

Ia disimpan di sebuah bilik di tingkat satu, salah satu daripada bangunan IPD itu yang sedang diubah suai.

Ekoran keadaan fail kertas siasatan itu yang sudah usang dan berhabuk menyebabkan pekerja binaan menyangkakan ia kertas lama yang sudah tidak digunakan lalu mengambilnya untuk dijual kepada kilang kitar semula.

Kertas siasatan seberat kira-kira 2,000kg itu dijual pada harga RM800 kepada beberapa kilang kitar semula di Kepong berdasarkan kadar antara 37 hingga 45 sen sekilogram.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kehilangan kertas siasatan itu hanya disedari Sabtu lalu oleh salah seorang anggotanya yang mahu menjalankan kerja-kerja pembersihan dan mengemas kini fail-fail di situ.

Dipetik Utusan Malaysia hari ini, beliau berkata, pihaknya mengesyaki kertas siasatan terbabit diambil oleh para pekerja yang mengubah suai bangunan tersebut.

SELANJUTNYA DI SINI.



Comments
Loading...