Tun Mahathir ketinggalan gerabak


Oleh Ustaz Idris Ahmad, HarakahDailly 
 
 

Parti Islam Semalaysia (PAS) menyifatkan Tun Dr Mahathir orang yang ketinggalan kereta api dalam ulasan politik negara pada hari ini. Beliau menuduh bahawa kerjasama PAS dan DAP tidak ikhlas, hanya untuk mendapat sokongan orang china. Hebat sungguh Tun Dr Mahthir yang boleh membaca keikhlasan PAS, mungkin makamnya sudah sampai ke maqam mushahadah yang boleh tilik hati perut orang.

 
Apakah salah PAS dan Pakatan Rakyat berpakat untuk menegakkan keadilan yang dilihat oleh semua kaum bahawa dasar BN tidak lagi menjamin keharmonian dan pengagihan kekayaan kepada mereka yang berhak dibela.

Umno yang tidak dapat menyembunyikan penindasan sesama bangsa dan agama. Perjuangan “umno putera” seolah khazanah negara ini milik mereka sahaja. Tun Dr Mahathir memberi pandangan kononnya PAS tidak ikhlas dalam Pakatan Rakyat, beliau hendak samakan sikap jahat yang ada pada beliau dengan apa yang ada kepada PAS. Janganlah peragai buruk beliau hendak disamakan dengan PAS.

Ketika beliau berkuasa dahulu, Tun Dr Mahathir jika bercakap di pentas antarabangsa, memang hebat. Beliau pernah mendapat gelaran “Adi Wira Jagat” oleh puak pengampu dalam umno. Beliau menjadi hero mengecam dunia barat yang tidak demokratik dan melanggar hak asasi manusia, sedangkan negara yang beliau pimpin waktu itu demokrasi dimatikan dan beratus mereka yang ditangkap dan disumbat dalam penjara kemunting tanpa bicara di bawah ISA. Zaman beliau permit Harakah digantung penerbitan, ceramah diharamkan, royalti di Terengganu ditarik balik, mufti dipecat, ulamak dikecam, bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR) ditarik.

Pas berpandangan Tun Dr Mahathir semakin resah dengan perkembangan politik negara, yang sudah meninggal pemikiran politik perkauman yang beliau warisi. Generasi muda yang terdedah dengan maklumat terbuka mahu mewujudkan kerajaan yang telus dan adil. Paling menakutkan sekali ialah jika Pakatan Rakyat berkuasa di peringkat pusat, inilah yang menjadi mimpi ngeri beliau. Maka beliau cuba hendak menimbulkan keraguan kepada pengundi China terhadap kejujuran PAS. Dalam masa yang sama menakutkan pengundi Melayu supaya menjauhi PAS, kerana menjadi kuda tunggangan DAP.

Pas berpendapat Dr Mahathir seorang yang cukup kecewa dengan parti yang beliau pernah terajui selama 22 tahun. Beliau cuba hendak mengalihkan isu yang melanda negara pada hari ini samaada dari segi politik, ekonomi, kehakiman dan keruntuhan sosial di kalangan remaja. Kita mendoakan semoga Allah panjangkan umurnya untuk melihat kesan daripada dasar yang beliau laksanakan dan warisi kepada pengganti beliau sehingga rakyat dihimpit dengan berbagai masalah di negara ini.

 


Comments
Loading...