Ekuiti Bumiputera: Perkasa buat laporan polis terhadap Chua Soi Lek


Oleh Jamilah Kamarudin, Free Malaysia Today

Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung kenyataannya yang dikatakan berbaur perkauman apabila mempersoalkan sistem kuota ekonomi bumiputera.

Chua semasa ucapannya di Kongres Ekonomi Cina Malaysia 14 Ogos lalu menuntut ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat.

Berikutan itu, Perkasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi disini kira-kira 2.30 petang tadi dan menggesa polis menyiasat Chua di bawah Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948 dan seksyen 4 Akta yang sama.

Perkasa dalam laporannya berkata, kenyataan Chua itu tidak bertanggungjawab dan bertujuan memecahbelahkan keharmonian sesuatu kaum serta berbaur hasutan.

“Chua perlu sedar bahawa kenyataan beliau boleh mencetuskan kegelisahan terhadap kaum Bumiputera khususnya orang Melayu kerana Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberikan keistimewaan kepada kaum Bumiputera sebagaimana peruntukan Artikel 153.

Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu dalam laporannya turut melahirkan kebimbangan jika kenyataan Chua boleh membawa impak negatif terhadap keharmonian penduduk Malaysia yang berbilang kaum.

Mencetuskan perbalahan kaum

“Kenyataan tidak bertanggungjawab itu kalau terus dimainkan akan pasti mencetuskan perbalahan kaum.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan kami mahu polis membuat penyiasatan menyeluruh mengenai kenyataan Chua dan membawa beliau ke muka pengadilan.

“Tindakan tegas perlu diambil polis agar perkara ini menjadi satu pengajaran kepada pihak lain agar tidak mempersoalkan kedudukan istimewa kaum Bumiputera dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...