Kes Helen Ang: Politik perkauman Perkasa-Umno amat berbahaya
By Faisal Mustaffa
Di dalam keghairahan mendapat perhatian di dalam media dan sokongan masyarakat umum yang berada di atas pagar dan mereka yang benar-benar tidak mendapat maklumat sebenar, Perkasa telah menggunakan kaedah menjadikan seorang mangsa sebagai kambing hitam.
Persoalannya siapakah yang benar-benar layak di kambing-hitamkan? Akhirnya, individu yang ‘bertuah’ tersebut ialah Helen Ang, seorang wanita berbangsa Tionghua dan penulis rencana yang agak moderate tetapi kadang-kadang menyengat.
Rencana-rencana tulisannya disiarkan di dalam media sesawang Malaysiakini dan Centre for Policy Initiatives.
Perkasa mencadangkan agar Helen disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di dalam laporan polis yang dikemukakan, mereka mendakwa Helen “dengan angkuhnya” memburuk-burukkan Yang Di-Pertuan Agung Tuanku Mizan dengan mempertikaikan kuasa baginda.
Media propaganda Umno, Utusan Malaysia pula melemparkan tuduhan liar melaporkan, ‘Perkasa minta polis siasat Helen Ang pertikai hak Melayu, Islam’ dan ‘Perkasa lapor portal pertikai Islam’.
Rencana beliau yang agak menimbulkan kemarahan Perkasa ialah melalui artikelnya bertajuk ‘Enforcing NEP on minority religions’ yang disiarkan pada Ogos 4 di CPI.
Perkenalan kami
Aku mula mengenali Helen Ang ini selepas beliau mengajak aku bersama-sama menyumbang di laman CPI. Kemudiannya, aku dijemput sebagai speaker forum di BUM2009 pada Mei 16, 2009 di mana beliau sebagai moderator sesi perbincangan yang diadakan dalam Bahasa Melayu. Ahli-ahli panel lain terdiri daripada Fathi Aris Omar (pengarang Malaysiakini), Fahri Azzat (laman Loyar Burok) dan A.Kadir Jasin (mantan pengarang kumpulan NSTP).
Di kebanyakan waktu aku berjumpa dengannya, Helen berbaju kurung ringkas dan kami berbahasan Melayu – seolah-olah aku sedang berbicara dengan seorang wanita Melayu terakhir.
Beliau berwajah riang, bersuara lembut dan berwatak feminin.
Sekiranya kita melihat definisi Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang Melayu ialah individu yang memenuhi tiga criteria; 1) mengamal adat Melayu 2) berbahasa Melayu 3) beragama Islam.
Ya, Helen sudah memenuhi dua kriteria yang boleh menjadikan dia ‘Melayu’. Sehingga ada Melayu sendiri yang tidak memenuhi ketiga-tiga criteria tersebut dan masih mengakui mereka Melayu – sekiranya kita mengenakan syarat ‘keMelayuan’ yang agak cerewet – misalannya berpakaian pyjamas dan bukan sarung ketika tidur, makan dengan sudu garfu, berbahasa Inggeris di rumah dan tidak sembahyang.
Di dalam kelembutannya itu, ada juga ketegasan yang dipaparkan. Pada Mei 7, 2009, Helen bersama-sama 35 orang yang lain ditahan semasa berhimpun dan berpakaian hitam sewaktu punahnya demokrasi di Perak.
Aku bertanya sendiri, “manakan pula wanita yang aku kenali sebegini sanggup untuk menggugat kepentingan Melayu?”
Aku membaca dua kali lalu rencana yang dituliskannya itu dan tidak satu pun perkataan yang merujuk kepada Tuanku Mizan atau pun YDP Agong.
Sanggup mereka ini melontar tohmahan sebegini.