Sekiranya Kita Ikhlas Memberi Mahasiswa Peluang Memilih
By Woon King Chai, Loyarburok
Refleksi dan analisa seorang mahasiswa tentang perbicaraan sama ada hak dan kebebasan mahasiswa berpolitik harus dipulangkan kepada mahasiswa.
Perdebatan yang hangat antara Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dengan Tan Sri Ibrahim Abu Shah, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengenai isu penglibatan mahasiswa dalam politik telah menjadi tumpuan mahasiswa, anak muda, para aktivis, politikus serta masyarakat awam di Malaysia. Tayangan debat tersebut dalam rancangan Soal Jawab TV3 pada 4hb Ogos 2010 telah membuka mata para penonton kepada pelbagai sisi dan sudut pandangan mengenai isu penglibatan mahasiswa dalam politik.
Tujuan saya menulis adalah untuk menyatakan beberapa pandangan alternatif yang boleh digunakan sebagai perbandingan dengan pendapat-pendapat serta tanggapan pra-matang yang telah diutarakan oleh beberapa pihak yang prihatin terhadap isu-isu mengenai mahasiswa yang “terlalu aktif” dan akan “kehilangan fokus dalam pelajaran” apabila dicocok dengan isu-isu luar kampus, seperti isu-isu kemasyarakatan.
Saya agak tertarik dengan hujah pertama yang telah disampaikan oleh Dato’ Saifuddin, iaitu soal penglibatan mahasiswa dalam politik merupakan satu soal mengenai kebebasan dan hak terlebih dahulu. Sama ada pemberian kebebasan tersebut adalah baik atau tidak, merupakan soal kedua. Menurut Dato’ Saifuddin, mahasiswa perlu dilihat sebagai golongan berpendidikan yang matang dan mampu menilai baik-buruk sesuatu perkara dan membuat keputusan yang terbaik.
Hanya jika hak dan kebebasan itu diberikan terlebih dahulu, barulah kita boleh berkata bahawa kita benar-benar memberi mahasiswa peluang untuk memilih dan justeru menentukan sama ada hak dan kebebasan yang diberi itu akan digunakan dengan baik atau buruk.
Pelbagai alasan telah digunakan oleh mereka yang tidak menyokong pandangan bahawa mahasiswa patut diberi kebebasan untuk memilih sama ada untuk menyertai politik atau tidak. Ada yang menggunakan alasan bahawa pemberian kebebasan ini merupakan satu risiko yang boleh menjejaskan proses penghasilan graduan yang berkualiti. Terdapat juga mereka yang berpendapat bahawa masa pengajian seseorang mahasiswa di universiti adalah sangat singkat dan harus ditumpukan sepenuhnya kepada pengajian bidang masing-masing.
Wujud juga segelintir yang tergamak untuk membuat tanggapan pra-matang bahawa pemberian hak dan kebebasan berpolitik kepada mahasiswa boleh menjejaskan pembangunan negara dan pembentukan modal insan untuk membangunakan masyarakat.
Jelas sekali terdapat pelbagai kontradiksi dan tanggapan stereotaip yang tidak tepat dalam alasan-alasan di atas mengenai keadaan sekiranya mahasiswa diberi peluang untuk melibatkan dalam politik atau tidak. Bagaimana hendak menyokong hujah bahawa pemberian peluang hak dan kebebasan ini boleh menjejaskan kualiti graduan yang dihasilkan, namun pada masa yang sama mengharapkan mahasiswa memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada pengajian akademik dalam universiti sahaja?
Selain itu, apakah rasionalnya sekiranya kita mengatakan bahawa pemberian peluang kebebasan kepada mahasiswa ini akan menjejaskan pembangunan modal insan dalam masyarakat; walaupun secara intipatinya, pemberian hak dan kebebasan berpolitik kepada mahasiswa merupakan pemberian suatu peluang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam isu-isu kemasyarakatan?