Perkauman: Rakyat perlu berpayung di bawah PR


(Harakahdaily) – Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli yakin, Umno sedang cuba mencetuskan huru hara apabila cuba membangkitkan isu perkauman pada waktu ini.

Menurutnya, tindakan itu dibuat supaya Umno dapat mengambil kesempatan selepas kerajaan BN semakin lemah.

“Kita yakin Umno sekarang dalam keadaan tersepit dan cuba cetuskan kemarahan kaum.

“Mereka perlu satu keadaan di mana mereka boleh mengambil kesempatan untuk menarik kembali sokongan rakyat.

“Yang kita risau, mereka nampaknya cuba bangkitkan isu perkauman,” katanya.

Menurutnya, tindakan paling selamat bagi rakyat sekarang ini adalah berlindung di bawah payung Pakatan Rakyat yang sentiasa menghormati hak semua kaum.

Umno melalui medianya Utusan Malaysia didakwa memainkan sentimen itu apabila menyiarkan tajuk muka depan berbunyi ‘Bangkitlah Melayu’.

Sebelum ini, pelbagai berita provokasi termasuk mendakwa nama Lim Guan Eng diguna menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang baru baru ini.

Padahal ia dinafikan sama sekali oleh kerajaan Pulau Pinang.

Kerajaan negeri juga melihat terdapat percubaan secara agresif memburukkan pemerintahan Pakatan Rakyat negeri itu dengan memainkan isu perkauman.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam juga turut menyeru rakyat negara agar bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno BN.

 



Comments
Loading...