Broker dan kerabat diraja dituduh palsu dokumen balak


(Bernama) – Seorang broker tanah dan seorang kerabat diraja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana dituduh memalsukan dokumen melibatkan penjualan balak yang belum ditebang bernilai lebih RM114 juta di tanah milik Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Bagi tuduhan pertama, Wan Lateff Wan Embong, 54, dari Kampung Wakaf Mempelam dekat sini, didakwa memalsukan satu dokumen iaitu “agreement for sale of standing trees” kononnya antara Tuanku Mizan dan International Ship Industri (M) Sdn. Bhd., melibatkan tanah seluas 5,113 hektar di kawasan Hutan Simpan Tembat, Mukim Hulu Terengganu, dengan anggaran nilai RM102 juta.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 30 September dan 5 Oktober tahun lepas di Pejabat Tetuan Ahmad Shahabudin & Co., Peguam Bela & Peguam Cara beralamat di 304 dan 305, Tingkat 3, Wisma Kokitab di sini.

Bagi tuduhan kedua pula, Wan Lateff dituduh telah memalsukan satu dokumen iaitu “agreement for sale of standing trees” kononnya antara Tuanku Nur Zahirah dan International Ship Industri (M) Sdn. Bhd.

Ia melibatkan melibatkan kawasan tanah balak seluas 568 hektar di kawasan yang sama dengan anggaran nilai RM12 juta.

Wan Lateff, yang diwakili peguam Nodin Kassim, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abdul Majid.

Tertuduh kedua, Tengku Nikman Tengku Mahmud, 56 dari Kajang, Selangor, dituduh bersubahat melakukan perbuatan itu pada 5 Ogos dan 5 Oktober tahun lepas di tempat yang sama.

Hakim M Bakri membenarkan Wan Lateff diikat jamin sebanyak RM30,000, manakala Tengku Nikman diikat jamin sebanyak RM20,000.

Mahkamah turut memerintahkan supaya kedua-dua tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya supaya kes itu dibicarakan bersama.

Hakim M Bakri kemudian menetapkan 22 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu bagi memberi peluang kepada Tengku Nikman untuk melantik peguam.

 



Comments
Loading...