IDEA MAHASISWA BERPOLITIK BUKAN ISU POKOK
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) melihat bahawa idea untuk membenarkan mahasiswa berpolitik bukanlah isu pokok. Hal ini kerana, KAMI merasakan bahawa segala tindakan ini adalah tindakan dan keputusan politik.
KUMPULAN AKTIVIS MAHASISWA INDEPENDEN (KAMI)
-KENYATAAN MEDIA-
-UNTUK EDARAN SEGERA-
24HB OGOS 2010
IDEA MAHASISWA BERPOLITIK BUKAN ISU POKOK
Idea untuk membuka ruang dan kebenaran untuk mahasiswa berpolitik kembali menjadi isu apabila ia disuarakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah. Hal ini juga telah dibangkitkan oleh Naib Presiden MCA, YB Senator Gan Peng Siew semasa mengulas isu pendakwaan UKM4 di Mahkamah Universiti Kebangsaan Malaysia. Namun, pandangan ini akhirnya ditolak apabila Kabinet memutuskan untuk menolak cadangan bagi membenarkan mahasiswa berpolitik. Pakatan Rakyat bagaimanapun mencadangkan penubuhan sebuah Kaukus untuk meneruskan agenda ini.
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) melihat bahawa idea untuk membenarkan mahasiswa berpolitik bukanlah isu pokok. Hal ini kerana, KAMI merasakan bahawa segala tindakan ini adalah tindakan dan keputusan politik. Tidak relevan apabila keputusan untuk membenarkan mahasiswa berpolitik perlu dibuat oleh Mesyuarat Kabinet dan kemudian boleh dirayu di Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Ini adalah keputusan politik yang mana biarpun dibenarkan, ia tetap boleh ditarik balik termasuk sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.
KAMI merasakan bahawa isu yang lebih penting ialah bagaimana melepaskan keterikatan politik dengan universiti. Hal ini bererti, kita harus lepaskan universiti daripada percaturan dan keputusan politik. Perlantikan Naib Canselor perlu dibuat oleh Majlis Senat Universiti dan bukan dilantik oleh Menteri. Maka segala keterikatan politik dan universiti itu perlu diputuskan segara. Autonomi universiti itu perlu dikembalikan kepada universiti dan mahasiswa. Biar mahasiswa sendiri yang memilih sama ada mereka ingin berpolitik atau tidak.
Atas kesedaran itu Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen berpendirian bahawa;
1. Mendesak agar autonomi universiti itu dikembalikan kepada mahasiswa dan universiti sendiri.
2. Keterikatan politik antara universiti dengan pemerintah itu diputuskan terus.
3. Mendesak agar keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan dan pendirian mahasiswa.
Hilman Idham
Presiden
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)