Najib: Jangan biar perkauman hancurkan negara
Oleh The Malaysian Insider
KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan dan sikap melampau yang terjelma melalui isu-isu perkauman serta agama, kata Datuk Seri Najib Razak.
“Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata,” kata Perdana Menteri dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan ke-53 yang akan disambut esok.
“Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada,” kata beliau dipetik Bernama.
Beliau berkata sudah tiba giliran generasi sekarang untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi.
Perdana Menteri berkata cabaran sebenar rakyat Malaysia hari ini adalah untuk mentransformasikan negara supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Menurut Najib (gambar), kejayaan mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana, adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan.
“Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu-pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara.
“Hari ini tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan,” kata Perdana Menteri.
Menyingkap perjuangan tokoh-tokoh ternama negara, Najib berkata bapa-bapa kepimpinan negara tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar manapun cabaran yang melanda.
“Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat,” katanya.