The Terengganu e-book scandal (part 2: Ahmad Said langgar undang-undang sendiri)
Gambar – sekurang-kutangnya 5 tempat keretakan yang jelas kelihatan dari pandangan luar premis kilang Top IT Industries yang disebut sebagai kerosakan kekal oleh laporan Jabatan Audit namun MB Ahmad Said mempertahankan dan mengatakan kilang tersebut selamat.
Buletin Online
Pengarah MTD Chukai, Haji Hanafiah Mat menyifatkan tindakan kerajaan negeri Terengganu membenarkan kilang ‘e-Book’ TOP IT Industries beroperasi tanpa kelulusan Sijil Akuan Menduduki Bangunan atau CF adalah melanggar undang-undang ciptaan sendiri.
Katanya tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said itu tidak boleh dijadikan contoh serta wajar ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Menurutnya, sebagai ketua kerajaan yang membenarkan kilang milik anak syarikat kerajaan negeri beroperasi secara ‘haram’ amat memalukan rakyat Terengganu.
“Amat memalukan kita (rakyat) apabila kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang ‘Mat Said’ (Ahmad Said) sebagai Menteri Besarsendiri langgar undang-undang ciptaannya.
“Dia (MB) benarkan kilang TOP IT Industries tanpa CF. Sepatutnya, MB jadi contoh kepada rakyat,” ujarnya dengan kesal.
(Gambar – sekurang-kutangnya 5 tempat keretakan yang jelas kelihatan dari pandangan luar premis kilang Top IT Industries yang disebut sebagai kerosakan kekal oleh laporan Jabatan Audit namun MB Ahmad Said mempertahankan dan mengatakan kilang tersebut selamat)
Beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu mendakwa pendedahan Jabatan Audit Negara Cawangan Terengganu mengenai masalah di kilang tersebut merupakan satu bentuk penyelewengan.
Katanya, pendedahan itu satu lagi bentuk penyelewengan pemimpin Umno Terengganu yang berkuasa di negeri ini.
Oleh itu, beliau mendesak agar pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil tindakan segera tanpa memilih ‘bulu’.
Menurutnya, keselamatan nyawa para pekerja di kilang berkenaan patut diutamakan agar tidak berlaku seperti runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tahun lalu.
“Kita (PAS) minta pihak berwajib terutama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dapat mengambil tindakan segera dalam kes (kilang) ini tanpa memilih ‘bulu’.”
“Kita (PAS) mahu keselamatan para pekerja kilang terjamin dan diutamakan. Kita (PAS) tidak mahu terjadi kes runtuh seperti bumbung stadium di Gong Badak, tahun lalu,” ujarnya.
Minggu lalu, rakyat didedahkan dengan laporan Jabatan Audit Negara Cawangan Terengganu mengenai Pengauditan Pengurusan Anak Syarikat TOP IT Industries tidak mempunyai CF.
Perkara itu, didedahkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pada 26 Ogos lalu.
Dr Syed Azman berpendapat laporan Audit tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keretakan kekal serta boleh membahayakan nyawa 67 orang kakitangan yang bekerja di kilang berkenaan.”
“Saya telah mendapat dua dokumen penting yang diberikan kepada saya. Pertama, tentang pengauditan pengurusan TOP IT Industries Sdn Bhd dan keduanya, gambar-gambar mengenai kerosakan-kerosakan yang disebut kerosakan kekal.”
“Laporan Jabatan Audit Negara Cawangan Terengganu mendapati kilang ini tidak mendapat Sijil Akuan Kelayakan Menduduki atau pengesahan CF dari Jabatan Bomba dan Penyelamat,” ujarnya.
Beliau mahukan kerajaan negeri segera bertindak untuk membuat pemeriksaan rapi berdasarkan laporan audit ke atas kilang ‘e-Book’ terbabit.
Katanya, kilang pemasangan e-Book tersebut beroperasi dalam keadaan amat merbahaya kepada para pekerja yang seramai 67 orang.
“Mereka (pekerja) telah membuat pengaduan kepada kami (PAS) secara rahsia tentang bahaya mereka (pekerja) bekerja di sini (kilang) kerana berlaku keretakan-keretakan yang boleh nampak jelas dari luar bangunan.”
“Audit Terengganu telah membuat audit dan memaklumkan tentang keretakan-keretakan yang berlaku ini merupakan keretakan yang kekal dan boleh memberikan ‘impak’ (kesan) besar kepada para pekerja jika berlaku keruntuhan.”
“Jadi, mereka (pekerja) amat bimbang tentang apa yang ada sekarang ini. Dan jika hari hujan atau ribut akan berlaku juga kebocoran.”
“Air (hujan) masuk ke dalam (kilang) dan atap kilang ini juga bergoyang jika berlaku tiupan angin, hujan dan ribut,” jelasnya.
Menurutnya, kilang terbabit telah beroperasi selama satu tahun empat bulan tanpa Sijil Akuan Kelayakan Menduduk (SAKM) atau CF dari pihak berwajib.
Katanya, laporan Juruperunding Arkitek Pembinaan Kilang mendapati berlaku kebocoran pada dinding, steel column, siling, dinding, keretakan dinding dan penghawa dingin tidak berfungsi dengan baik.
Menurutnya, lawatan Audit ke bangunan kilang tersebut pada 15 Mac 2010 lalu mendapati kesan retak yang serius.