Penyakit Hati Punca Enggan Bayar Royalti Minyak Kelantan
Oleh Free Malaysia Today
Penyakit hati – iri hati, dengki, khianat, dendam, sombong, angkuh, tamak, adu dumba, fitnah dan lain-lain – menjadi punca manusia rosak akhlak dan tingkah laku buruk hingga menjadi buta dari melihat kebenaran dan keadilan. Sebaliknya sifat mazmumah (keji) ini akan mendorong manusia melakukan kejahatan, kezaliman, penindasan, kemaksiatan hingga sanggup merampas hak orang lain.
Kengganan kerajaan pusat membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan adalah berpunca dari para pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) yang mempunyai penyakit hati ini. Dendam kesumat dan iri hati terhadap rakyat Kelantan yang mengundi pembangkang sejak 20 tahun lalu.
Walaupun negara telah melalui empat lima pilihan raya umum namun percubaan kerajaan Umno-BN untuk merampas semula negeri Cik Siti Wan Kembang itu gagal. Maka ditaburkan berbagai fitnah dan dilakukan pelbagai kejahatan dan kemuncaknya menafikan rakyat Kelantan dari menerima wang royalti minyak.
Ekoran dari kezaliman Umno-BN ini maka negeri Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah memfailkan saman terhadap Petronas – di mana pemegang sahamnya adalah kerajaan persekutuan – di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.
Kerajaan negeri bertindak demikian terhadap Petronas akibat melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil dari minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan-Thailand, Kelantan-Vietnam dan Kelantan-Terengganu.
“Kita akan tuntut wang royalti ini sehingga dapat,” kata Tok Guru, menambah, “sekiranya gagal kita akan tuntut di akhirat. Lebih baik dia bagi semasa di dunia ini.”
Kelantan tuntut RM800 juta setahun
Tuntutan royalti minyak oleh Kelantan dianggarkan bernilai RM800 juta setahun sejak 2005 dan jika dicampur jumlah itu sehingga tahun ini maka jumlahnya ialah sebanyak RM4.8 bilion.
Tidak diketahui kenapa Tok Guru memilih bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan ini untuk memfailkan saman dan sejurus selepas itu, beliau dan rombongannya bergegas ke masjid yang berdekatan, Masjid Jalan Duta, untuk menunaikan solat hajat.
Barangkali mesej yang hendak disampaikan oleh Tok Guru ialah “di hari baik dan bulan baik ini, hentikanlah dari melakukan kezaliman. Berilah hak kami!” Tetapi tindakan beliau ini dapat dikiaskan dengan unsur-unsur kehidupan di akhirat apabila beliau bercakap kepada para wartawan.
Kata Tok Guru, “jika mereka masih menafikan hak rakyat Kelantan maka di akhirat nanti, mereka akan menerima padahnya. Pahala ibadat mereka akan diberi kepada orang-orang yang dizalimi. Jika pahala mereka habis maka dosa orang-orang yang dizalimi akan dilambakkan ke atas kepala orang-orang yang melakukan kezaliman.”
Dendam kesumat Umno-BN
Apa yang alami oleh rakyat Kelantan ialah akibat dendam kesumat ekoran dari pemikiran politik sempit bagi menyeksa rakyat negeri itu kerana terus menerus menolak Umno-BN. Mereka tidak ada cara lain lagi melainkan dengan menafikan rakyat Kelantan dari mendapat pembangunan dan bantuan kewangan.