PERKASA tidak perlukan sokongan UMNO: Ibrahim


Asas perjuangan diterus walaupun dibidas parti komponen

(Utusan Malaysia) –  Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) tidak memerlukan sokongan UMNO atau mana-mana parti politik dalam perjuangannya untuk kesejahteraan rakyat dan negara, kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, PERKASA sebagai badan bukan kerajaan (NGO) hanya memerlukan sokongan ahlinya dan rakyat biasa dalam mempertahankan perjuangannya. 

“PERKASA dikatakan menjejaskan sokongan bukan Melayu kepada BN… tetapi keadaan itu akan berlaku pada pilihan raya akan datang kerana komponen BN terutama pemimpinnya ada macam-macam rekod yang ditolak rakyat, selain pelbagai janji Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada mereka.

“Jadi, tidak kira siapa, pengundian dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti terserah kepada setiap individu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kelmarin bahawa parti itu tidak menyokong PERKASA dan kenyataannya dialu-alukan semua 13 parti komponen BN.

Keputusan itu dikatakan berkaitan banyak tindakan dan kenyataan PERKASA yang dikhuatiri boleh menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum.
Tengku Adnan berkata, PERKASA sudah beberapa kali mengadu domba parti komponen BN hingga menjejaskan perpaduannya, selain mencetuskan persoalan di kalangan rakyat mengenai pendirian UMNO.

Malah, beberapa kepimpinan parti komponen BN secara terbuka membidas kepemimpinan PERKASA kerana tindakan mereka menjejaskan usaha kerajaan mencapai gagasan 1Malaysia, walaupun Datuk Seri Najib Razak menegaskan hak orang Melayu akan sentiasa dilindungi dan terjamin.

Ibrahim pula menggariskan tiga perkara yang menjadi asas perjuangan PERKASA, iaitu mempertahankan Perlembagaan Malaysia, memastikan kerajaan yang amanah, adil dan saksama, tidak rasuah, salah guna kuasa, sistem penyampaian yang cekap, mesra rakyat dan pentadbiran kerajaan yang berkesan.

Asas ketiga adalah untuk memastikan pemimpin dan wakil rakyat yang amanah, mesra rakyat tidak rasuah, tidak sombong, bongkak, akhlak mulia, bermoral, tidak maksiat, tamak haloba, yang Islam pula beriman, takwa, ikhsan, celik al-Quran serta mendirikan dan menjaga solat, katanya.

Sementara di BOTA, Pergerakan Pemuda UMNO menyokong penuh sekiranya parti itu berhasrat meletakkan calon untuk menentang Ibrahim dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Exco Pemuda UMNO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendaftar Pemilih Pemuda UMNO, Hisyammudin Yahya, berkata pihaknya menyokong penuh jika UMNO mahu meletakkan calon menentang Ibrahim di Parlimen Pasir Mas.

 



Comments
Loading...