Tiada geran tanah walaupun hutang dilangsai


GEMAS: Free Malaysia Today turut mendengar keluhan beberapa peneroka tanah rancangan Felda Palong 9, 10, dan 11 yang telah pun melangsaikan hutang tanah seluas 10 hektar kepada Felda, namun masih belum menerima atau diberi geran tanah hak milik individu. Mengikut Akta Penempatan Berkelompok atau Group Settlement Act (GSA) 1960, apabila peneroka selesai membayar kesemua jumlah hutang hak milik tanah, Felda akan menjadi orang tengah dengan mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya dikeluarkan geran tanah kepada peneroka.

Namun perkara ini tidak berlaku kepada peneroka Md Salam Yusof,49, yang sudah pun melangsaikan hutangnya sejumlah RM52,000 sejak tahun 2008.

Beliau menjadi peneroka awal di tanah rancangan Felda Palong sejak tahun 1985 membayar ansuran kepada Felda sebanyak RM250 sebulan melalui potongan hasil pendapatan bulanannya.

Katanya, selepas bebas daripada hutang, hasrat untuk menanam secara sendiri dan tidak mahu lagi bergantung kepada Felda tidak kesampaian memandangkan pengurusan Felda masih lagi bermain tarik-tali terhadap pemberian dokumen geran hak milik tanah.

“Saya menerima duit raya daripada Felda selepas Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM350 kepada setiap peneroka.

“Saya hanya menerima RM200 sahaja, peneroka yang lain dapat bayaran penuh. Ini bermakna mereka (Felda) sudah mengiktiraf status saya bukan lagi sebagai peneroka yang masih berhutang.

“Jika pemberian duit raya ini sudah memberi petanda yang saya sudah bebas daripada hutang Felda, kenapa tidak terus diberikan geran tersebut kepada saya,” soal beliau.

Felda ambil kesempatan?

Md Salam, yang juga Ketua Program Tanam Semula Palong 9, berkata, Felda seperti mahu mengambil kesempatan terhadap dirinya apabila menawarkan perjanjian program tanam semula, walaupun tahu beliau telah malangsaikan hutang tanahnya itu.

Katanya, Felda melalui Tabung Tanam Semula akan memberikan elaun sara hidup dan lain-lain bantuan kepada peneroka sebanyak RM1,000 sebulan dan peneroka itu akan diberikan pinjaman (hutang) yang mesti dibayar balik.

“Saya tidak mahu hidup dibebani hutang Felda lagi kerana saya mampu memperoleh pendapatan dua kali ganda jika tanam sendiri. Felda seperti cuba menghalang peneroka daripada berdikari dan mendapat hasil keuntungan berganda”.

“Saya juga pernah menerima aduan daripada peneroka lain yang mereka digertak untuk diusir keluar daripada tanah rancangan jika tidak mahu tanam semula dengan Felda,” katanya.

Read more at: http://www.freemalaysiatoday.com/fmt-english/news/general/10121-tiada-geran-tanah-walaupun-hutang-dilangsai



Comments
Loading...