Kenapa burukkan rakan Datuk Seri Anwar – Zaid


(Harakahdaily) – Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mempertikaikan tindakan sesetengah pihak dalam parti itu yang memburukkan nama rakan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Soh Chee Wen setelah beliau berkawan baik dengannya.

“Soh Chee Wen, setahu saya, adalah rakan akrab dan setia Datuk Anwar Ibrahim dan telah membantu Keadilan. Azmin Ali, Syed Shahir dan Chua Jui Meng tahu hal ini. Saya kenal Chee Wen kerana dia dilantik oleh Anwar untuk menganggotai biro politik PKR sembilan bulan lalu.

“Amat tidak masuk akal untuk Soh Chee Wen digambarkan sebagai orang jahat dengan serta-merta bila berkawan dengan saya, tetapi bila berkawan dengan Anwar, dia orang yang baik. Ini aneh sekali,” tulis Zaid dalam blognya.

Zaid menjawab persoalan ini selepas beliau ditanya oleh sesaorang apakah benar beliau dibayar oleh Soh Chee Wen untuk merosakkkan PKR.

“Saya ditanya pemimpin Keadilan tadi semasa saya sampai di Kuching untuk mendengar keputusan kes di Mahkamah Tinggi Kuching:  Adakah benar saya ditaja oleh ahli perniagaan Datuk Soh Chee Wen untuk menghancurkan parti? Itukah cara kempen setakat ini? Bahawa saya ini pengkhianat dan saya orang baru?” soal beliau.

Bagi Zaid, pemilihan dalam PKR sekarang adalah satu proses yang mudah sahaja dan tidak perlu kepada tektik-tektik kotor.

“Pada pendapat saya, isu kempen sebenarnya mudah sekali. Jika ahli-ahli Keadilan selesa dan berpuas hati dengan prestasi parti berteras reformasi ini, maka pilihlah calon-calon yang setia dan mereka dari Reformasi 1998. Jika ahli-ahli Keadilan percaya bahawa semua masalah dan kelemahan parti kita adalah ciptaan dan kerenah UMNO, mereka patut memilih pemimpin yang sedia ada sebagai calon.

“Saya menawarkan diri sebagai calon hanyalah kalau ahli Keadilan mahu alternatif dalam membuat perhitungan. Sebab-sebab saya boleh menjadi menjadi asset kepada parti akan saya huraikan selepas saya dapat pencalonan nanti,” katanya.

Bagi beliau, pemilihan ini adalah satu kesempatan untuk membuktikan bahawa parti ini mampu melangsungkan pemilihan demokratik di dalam PKR, terutamanya apabila pemilihan ini akan diadakan di bawah pengawasan seluruh negara.

Biarlah proses pencalonan dan pemilihan parti ini dilangsungkan secara satu ‘friendly contest’ dan yang kita sebagai satu parti mampu menunjukkan kepada rakyat bahawa PKR adalah parti yang matang dan progresif, katanya.

Zaid juga mengulas tulisan ketua cabang PKR Kelana Jaya, Syed Shahir Mohamud mengenai pemilihan kali ini.

“Syed Shahir Syed Mohamud adalah seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga merupakan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

“Baru hari ini, Ketua Cabang PKR Kelana Jaya tersebut telah memberi amaran yang PKR telah dimasuki dan dirasuki musuh. Siapakah dan berapakah ahli-ahli ini, dia tidak sebut.,” tulisnya.

Menurur Zaid, beliau menawarkan diri sebagai calon hanyalah kalau ahli PKR mahu alternatif dalam membuat perhitungan.

“Sebab-sebab saya boleh menjadi menjadi asset kepada parti akan saya huraikan selepas saya dapat pencalonan nanti,” katanya.

Beliau menegaskan, dia tidak perlu dibiayai oleh Soh Chee Wen ataupun orang lain untuk menyertai pertandingan dalam PKR.

“Lagipun jawatan timbalan itu sebenarnya tidak ada kuasa. Nombor Dua dalam politik Malaysia ini hanya untuk glamour dan nama saja, tidak ada lah banyak kuasa sangat.

“Apa lagi dalam Keadilan, Nombor Satu pun tak ada kuasa seperti Ketua Umum, jawatan yang tidak boleh ditandingi. Jadi, saya tidak faham riuh-rendah pasal jawatan Nombor Dua ini,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...