Siapakah ‘Musuh Parti’ dalam PKR?


Zaid Ibrahim

Syed Shahir Syed Mohamud adalah seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga merupakan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Baru hari ini, Ketua Cabang PKR Kelana Jaya tersebut telah memberi amaran yang PKR telah dimasuki dan dirasuki musuh. Siapakah dan berapakah ahli-ahli ini, dia tidak sebut.

Sejak isu pemilihan parti timbul, ungkapan ‘musuh parti’ ini kerap kedengaran. Agaknya, sesiapa yang menawarkan perkhidmat semasa pemilihan ini tetapi tidak direstui adalah itu yang disebutkan ‘musuh parti’ dan musuh perjuangan.

Saya ditanya pemimpin Keadilan tadi semasa saya sampai di Kuching untuk mendengar keputusan kes di Mahkamah Tinggi Kuching:  Adakah benar saya ditaja oleh ahli perniagaan Datuk Soh Chee Wen untuk menghancurkan parti? Itukah cara kempen setakat ini? Bahawa saya ini pengkhianat dan saya orang baru?

Pada pendapat saya, isu kempen sebenarnya mudah sekali. Jika ahli-ahli Keadilan selesa dan berpuas hati dengan prestasi parti berteras reformasi ini, maka pilihlah calon-calon yang setia dan mereka dari Reformasi 1998. Jika ahli-ahli Keadilan percaya bahawa semua masalah dan kelemahan parti kita adalah ciptaan dan kerenah UMNO, mereka patut memilih pemimpin yang sedia ada sebagai calon.

Saya menawarkan diri sebagai calon hanyalah kalau ahli Keadilan mahu alternatif dalam membuat perhitungan. Sebab-sebab saya boleh menjadi menjadi asset kepada parti akan saya huraikan selepas saya dapat pencalonan nanti.

Saya tidaklah mahu menjawab segala tohmahan tetapi tuduhan yang tak masuk akal mesti dijawab. Soh Chee Wen, setahu saya, adalah rakan akrab dan setia Datuk Anwar Ibrahim dan telah membantu Keadilan. Azmin Ali, Syed Shahir dan Chua Jui Meng tahu hal ini. Saya kenal Chee Wen kerana dia dilantik oleh Anwar untuk menganggotai biro politik PKR sembilan bulan lalu.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...