Tian Chua: Pembangkang jadi arus perdana biarpun belum berkuasa


Bukan seperti parti politik tempatan yang lain, Parti Keadilan bermula dengan gerakan rakyat.  “Gerakan rakyat bermula terlebih dahulu, kemudian barulah kami membincangkan penubuhan parti politik, apakah idea yang nak ‘dijaja’ kepada rakyat,” kata Tian Chua.

Lim Hong Siang, Merdeka Review

Gerakan Reformasi yang tercetus pada tahun 1998 memasuki babak baru, apabila Parti Keadilan Nasional ditubuhkan pada tahun 1999.  Bagaimanapun, sentimen yang memuncak lantaran daripada pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Anwar Ibrahim hanya memberikan lima kerusi parlimen kepada parti yang diterajui isterinya, Wan Azizah Wan Ismail dalam PRU ke-10.

Sepanjang tempoh 12 tahun ini, kita menyaksikan bagaimana perjuangan melalui demonstrasi jalan raya diorganisasikan untuk menubuhkan parti politik, kemudian memasuki gelanggang untuk bertarung mengikut peraturan sistem pilihan raya.  Parti Keadilan terus menjunam apabila diberi tamparan sengit dalam PRU ke-11 pada tahun 2004, dengan hanya satu kerusi Parlimen yang tinggal.

Tanpa diduga, parti yang dianggap “tidak relevan” oleh musuhnya ini bangkit sebagai parti pembangkang terbesar, dengan 31 kerusi parlimen dalam PRU ke-12 pada tahun 2008.  Malah, regim Barisan Nasional (BN) semakin menghampiri sempadan keruntuhannya, apabila Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengasak dengan “rampasan kuasa pada 16 September 2008”.

PKR, bersama rakan partinya dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PAS bagaimanapun gagal menawan Putrajaya pada tarikh yang dijanjikan.  Sebaliknya, PKR dilanda gelombang “keluar parti”, apabila ADUN dan ahli parlimen yang menyarung jersinya dalam PRU ke-12, meninggalkannya seorang demi seorang, sehingga PKR kehilangan kedudukan sebagai parti pembangkang terbesar dalam Dewan Rakyat.

Sungguhpun demikian, Tian Chua, reformis yang terlibat dalam gerakan ini sejak detik permulaannya, mengutarakan pandangan yang berbeza ketika menilai “naik-turun”-nya PKR.  Beliau melihat perjuangan PKR sebagai versi sejarah perkembangan masyarakat tempatan yang telah “dimampatkan”, malah memberi pengaruh dan impak terhadap persekitarannya.

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 11 Julai 2010, Tian Chua (gambar kiri) mengulas bagaimana gerakan Reformasi mengubah lanskap politik Malaysia, malah mendominasi arus perdana sebelumnya berkuasa, sehingga parti pemerintah terikut-ikut dengan rentak mahupun corak politik yang dibawa Reformasi.

“Pantang” menjadi norma

Bukan seperti parti politik tempatan yang lain, Parti Keadilan bermula dengan gerakan rakyat.  “Gerakan rakyat bermula terlebih dahulu, kemudian barulah kami membincangkan penubuhan parti politik, apakah idea yang nak ‘dijaja’ kepada rakyat,” kata Tian Chua.

“Sepanjang proses ini pula, suara yang berbeza kedengaran.  Bergabung atau tidak (dengan Parti Rakyat Malaysia), nisbah komposisi agama, demokrasi, sosialisme, nasionalisme dan sebagainya, kesemuanya terangkum.  Dan proses ini seharusnya menjadi perdebatan peringkat nasional.  Perdebatan dan perbincangan ini sedikit sebanyak memberi impak kepada persekitaran kita,” ulasnya.

Tian Chua menjelaskan bagaimana perbahasan dan perbincangan tersebut, sedikit-sebanyak membawa perubahan kepada parti politik yang lain.  PAS misalnya, terbahagi kepada sekta “Erdogan” dengan “ulamak”, “pro-UG (Kerajaan Perpaduan)” dengan “pro-PR”.  Sementara itu, DAP mengatur langkahnya menuju ke arah kemajmukan.  Lebih-lebih lagi, kedua-dua DAP dan PAS yang saling bertentangan akhirnya mencapai muafakat untuk membentuk pakatan, mengorak satu langkah yang besar dalam politik, menurut Tian Chua.

Dari segi budaya politik, beliau mengimbas bagaimana ceramah politik dahulu diadakan secara eksklusif untuk kaum masing-masing, yang dianggap sebagai satu kebiasaan, kini berubah menjadi pentas yang mewajibkan kehadiran pemimpin daripada tiga parti politik, untuk berucap kepada hadirin yang berasal daripada semua keturunan kaum.

“Dulu bila ada ceramah politik, orang Cina biasa tidak hadir, (dengan alasan) takut huru-hara berlaku, atau kesesakan jalan raya dan sebagainya.  Kini, tiada lagi tanggapan sebegitu,” kata Tian Chua.  Malah, Tian Chua menganggap PKR berjaya mengubah fikiran yang sekian lama ini membelenggu komuniti Cina, iaitu “warga kelas kedua”, kepada konsep “rakyat ialah bos”, setelah menyahut slogan daripada gerakan NGO.

“Dalam tempoh 10 tahun ini, kita menyaksikan banyak perubahan.  Saya melihat perubahan ini sebagai prestasi kita.  Sama ada PKR berjaya mengambil alih Putrajaya dan membentuk kabinet, bukan perkara yang paling penting.  Namun, kita telah mengorak satu langkah yang besar dalam politik sepanjang proses ini berlangsung.  Banyak ‘pantang-larang’ yang berjaya diatasi,” katanya.

Pengalaman di PRK Teluk Kemang pada tahun 2000 masih memahat dalam ingatan Tian Chua.  Seorang pemimpin pembangkang ketika itu berkata, “Biar DAP saja yang turun ke kawasan Cina, paling baik Nik Aziz (Mursyidul Am PAS) jangan datang.  Mereka yang berkopiah, bertudung sehingga menutup muka, jangan turun.  Orang Cina di kampung takut.”

Bagaimanapun, Tian Chua berkata Parti Keadilan Nasional tetap ingin menguji reaksi pengundi, dan mengatur agar Nik Aziz turun berkempen untuk Barisan Alternatif ketika itu, akhirnya berjaya menembusi benteng perkauman.

Menurut Tian Chua, Parti Keadilan menjadikan sesuatu yang dianggap “pantang” dahulu, bertukar menjadi sesuatu yang norma atau kelumrahan.  Kini, Barisan Nasional perlu mengejar langkah dan mengikut rentak pembangkang di sebaliknya.  Misalnya, slogan “1Malaysia” oleh Najib Razak sebagai reaksi kepada “Keadilan untuk Semua” (oleh PKR), “PAS untuk Semua” (oleh PAS) dan sebagainya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...