Utusan cuba naikkan Tun M, pinggir Najib?
(Harakahdaily) – Ekoran menyokong Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), akhbar Utusan Malaysia terus menerima kritikan dari pemimpin Umno.
Kali ini Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz pula mempersoal agenda sebenar akhbar milik Umno itu yang didakwa cuba merendahkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan melebihkan penasihat NGO tersebut, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Utusan juga jelasnya seperti mempunyai agenda tersendiri apabila lebih menonjolkan Dr. Mahathir berbanding Najib.
“Saya tidak faham Utusan. Siapa bos mereka? Najib atau Dr Mahathir? Kadangkala saya tertanya adakah mereka ada agenda untuk membawa kkembali Dr Mahathir untuk menggantikan Najib,” katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider.
Menurutnya lagi, dengan mempromosikan kenyataan Dr. Mahathir yang menyokong perjuangan melampau Hak Melayu Perkasa itu bermakna Utusan secara jelas telah merendahkan gagasan 1Malaysia Najib.
Nazri turut meminta agar Utusan memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti itu dengan menyokong agenda 1Malaysia Najib seperti akhbar politik yamg lain.
“Jika kita lihat Harakah, mereka promosikan program PAS, Suara Keadilan promosikan PKR, The Star promosikan MCA, tetapi akhbar Umno sendiri, Utusan tidak menyokong bos mereka,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin membidas Utusan Malaysia menerusi twitternya.
Khairy menulis bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”.
“Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya.
Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.
Ketua pemuda Umno itu juga telah berulang-kali menegaskan bahawa Umno tidak bersekongkol dengan Perkasa dalam apa bentuk sekalipun.
Sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno termasuk setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli majlis tertinggi, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Perkasa.
Mereka mendakwa pandangan melampau Perkasa berhubung hak dan dan keistimewaan Melayu akan meminggirkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.
Utusan melalui beberapa artikelnya telah menyokong Perkasa dan rencana pengarangnya pada Ahad lalu menggesa Umno supaya memikirkan semula hubungan dengan NGO itu.