Mengapa saya ajak Perkasa berdebat?


Oleh Nurul Izzah Anwar

Semenjak tulisan saya menjemput Perkasa untuk berdebat tentang kedudukan istimewa orang Melayu pada 31 Ogos lalu diterbitkan, bermacam-macam tohmahan telah dikeluarkan terhadap saya.

Saya dipanggil pengkhianat, dituduh cuba mengelirukan rakyat, tidak matang, buta sejarah dan juga kini dilibatkan dalam siasatan polis kerana dituduh menghasut.

Hairan, kerana orang yang mencadangkan supaya pemilikan tanah Kampung Baru dibuka sebanyak 40 peratus kepada bukan Melayu tidak pula mengalami nasib yang sama seperti saya.

Saya sudah jelaskan bahawa bukanlah niat saya untuk meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan orang Melayu, tetapi sekadar untuk mencari penjelasan tentang apa yang dilaung-laungkan oleh Perkasa tentang perjuangan mereka untuk melindungi orang Melayu.

Yang saya hujahkan dalam tulisan saya sebelum ini adalah bukan kedudukan istemewa orang Melayu dipersoalkan tetapi PELAKSANAAN dasar-dasar yang hanya menguntungkan segelintir orang Melayu dipersoalkan?

Sayangnya, jemputan saya itu ditolak mentah-mentah oleh pimpinan Perkasa dengan alasan soal kedudukan orang Melayu tidak boleh didebatkan, sedangkan yang saya mahu bincangkan hanyalah pelaksanaan dasar-dasar yang dikatakan dibuat atas peruntukan perlembagaan.

Kerana jemputan saya sudah ditolak, biarlah saya jelaskan sahaja di sini, apa sebenarnya menimbulkan kegusaran saya tentang perjuangan Perkasa dan soal kedudukan istimewa orang Melayu.

Pertama soal kuota dalam perkhidmatan awam. Mengikut statistik tahun 2009, 78.2 peratus daripada kakitangan awam adalah Melayu, dan Bumiputera lain membentuk 7.7 peratus. Selebihnya adalah bukan Melayu dan bukan Bumiputera.

Namun, kerajaan juga sedang berusaha untuk merekrut lebih ramai bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, kerana keperluan menyampaikan perkhidmatan kepada warga pelbagai kaum.

Bagaimanakah dasar kuota ini selaras dengan keperluan untuk menunjukkan kepelbagaian dalam sektor awam?

 

Kedua, soalan yang sama juga boleh ditanya dalam hal kuota biasiswa kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Saya mahu melihat lebih banyak biasiswa diberikan sebagai usaha memastikan kesaksamaan yang boleh tercapai dengan pendidikan yang menyeluruh.

Oleh itu, bukankah lebih baik sekiranya semua pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukarkan kepada biasiswa penuh sebagai memenuhi semangat Fasal 153 Perlembagaan persekutuan?

Saya juga percaya Perkasa sudah tentu akan bersetuju dengan saya kalau saya cadangkan sebahagian pendapatan Petronas, 30 peratus keuntungan tahunan misalnya, disalurkan kepada satu dana pendidikan untuk membiayai biasiswa anak-anak kita.

Perkara ini tidak mustahil kalau akaun Petronas didedahkan kepada umum melalui parlimen. Usaha melaksanakan tadbir urus yang cekap ini semestinya selaras dengan perjuangan mempertahankan hak-hak orang Melayu.

Ini sebenarnya lebih bermanfaat daripada melaung-laungkan meminta orang Melayu mendapat lebih banyak biasiswa daripada kaum lain. Dalam bahasa mudah, apa gunanya orang Melayu mendapat tujuh biasiswa, dan kumpulan lain mendapat tiga tempat sahaja. Yang saya perjuangkan adalah banyakkan biasiswa menjadi 100 tempat, contohnya, sudah pasti ramai orang Melayu mendapat manfaat.

Kuota kemasukan ke universiti juga sebenarnya sudah diubah pada zaman pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003, supaya lebih bersemangat meritokrasi. Bukankah ini mencabuli hak keistimewaan orang Melayu, kalau mengikut apa yang telah dilaung-laungkan Perkasa?

Saya juga tertarik dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meliberalisasikan 27 sub-sektor dalam sektor perkhidmatan.

Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Kepentingan ini termasuklah dalam keutamaan lesen-lesen perniagaan. Jadi adakah ini bermakna liberalisasi ini bertentangan dengan perlembagaan?

Tidakkah ini memberi kesan kepada “hak Melayu”?

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...