Umno-Perkasa: ‘Benci Tapi Cinta’
(TV Selangor) – ‘Benci tetapi cinta’, itulah hakikat sebenar hubungan antara Umno dan Perkasa kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.
Maka tidak hairanlah katanya, jika beberapa pimpinan Umno bingkas menarik semula pendirian sebelum ini bahawa Perkasa merupakan badan bukan kerajaan yang menghakis sokongan rakyat kepada parti pemerintah itu.
“Umno perlu mengubah pendirian supaya kelihatan lembut dengan nada perkauman sedia ada kerana umno memerlukan Perkasa agar sentimen Melayu yang mereka pegang tidak melihat Umno lari dari perjuangan sebenar,” ujar Mujahid kepada Tv Selangor selepas merasmikan buku terbitannya di Galeri Annex Kuala Lumpur petang tadi.
Menurut Mujahid, Umno kini dalam keadaan terdesak untuk memastikan mereka kekal menjadi juara rakyat.
Justeru parti pemerintah itu perlu ‘main tarik tali’ dengan mengatakan mereka tidak “bermusuh” dengan Perkasa tetapi tidak juga berkongsi landasan perjuangan sama dengan pertubuhan itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan Perkasa sebagai sebuah pertubuhan yang memudaratkan BN tetapi kemudiannya mengubah pendirian dengan berkata Umno mahu “rapat” dan “berdialog” dengan pertubuhan itu- sehari selepas Perdana Menteri Najib Razak mengisytihar tidak mahu ada sebarang konflik dengan Perkasa.
Drama Umno-Perkasa ini diteruskan lagi dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Tetap Umno Datuk Mohamad Aziz pula yang berkata Umno dan Perkasa berkongsi perjuangan sama tetapi cuma berada di landasan berbeza.
Malah, Mohamad menyifatkan hubungan Umno dan Perkasa adalah sehaluan dalam mencari kebaikan.
“Tidak perlu (Umno dan Perkasa) berasingan. (Contohnya hubungan) Umno dengan pengakap, Umno dengan Pandu Puteri, Umno dengan St John Ambulans, persatuan Palang Merah, masing-masing ada tugas, ada matlamat,” kata beliau.
Kenyataan dua pemimpin Umno itu menyusul setelah Najib dilihat tunduk kepada tekanan dalaman parti dan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersabit isu Perkasa.
Melihat kepada insiden ini, Mujahid yang juga Timbalan Pesuruhajaya PAS Pulau Pinang berkata, Umno kini mengamalkan langkah berjaga-jaga demi menjaga hubungan baik dengan parti-parti komponennya.
“Perkasa adalah platform dan peluang terbaik bagi Umno untuk menjaga sokongan Melayu tetapi dalam masa yang sama umno perlu berhati-hati agar Perkasa tidak menjadi batu penghalang bagi parti komponen lain seperti MCA,MIC dan Gerakan”.