Rasa seperti mahu menangis membaca tulisan terbaru Raja Petra membelasah Nasaruddin At-Tantawi
Tidak semua hujah Raja Petra saya terima, contohnya point no 9 dan 20 di bawah, jika silap haribulan, aqidah Raja Petra boleh sahaja tergelincir, apa sebenarnya maksud Raja Petra dengan kata-kata bahawa masalah yang sebenarnya dalam hukum Allah adalah hukum Allah (hukum Hudud) sangat mudah dimanipulasi oleh manusia.
1. Saya sebenarnya sudah lama tergerak hati untuk memberi komen berkenaan ulasan Ketua Dewan Pemuda Ulama PAS, Nasaruddin At-Tantawi dalam tulisanya berkenaan Undang-undang Islam dalam menyelesaikan kes pembunuhan Sosilawati (baca di sini). Pertama saya juga sependapat dengan Raja Petra bahawa Nasaruddin sebenarnya telah gagal menjelaskan keindahan hukum Allah dengan tepat dan jelas. Tulisan beliau, jika diamati dengan sungguh-sungguh, tidak hanya menyebabkan kekeliruan, bahkan ia seakan-akan tidak menyelesaikan masalah utama rakyat di negara ini, iaitu -IMAN. Tulisan beliau yang meleret-leret itu, lebih banyak berbicara tentang teori hukum Islam dan jauh sekali dari aspek praktikalnya.
2. Kedua, saya berasa malu dan semacam mahu menangis sahaja, apabila Raja Petra menyindir dan seakan-akan menghina Ketua Dewan Pemuda PAS tersebut dengan tajuk rencananya berbunyi, “Is The Best Type of Leader That PAS Can Offer?”. Saya malu dan sedih kerana, Nasaruddin ialah orang Islam dan orang Melayu, seperti saya juga, tetapi diperkotak-katik oleh Raja Petra yang kita semua tahu tahap ilmu agamanya setakat mana. Saya malu, kerana terbukti PAS gagal menjelaskan persoalan dan keadilan Hudud kepada Pakatan Pembangkang dengan tepat, jelas dan berkesan. Soalnya, apakah setakat ini sahaja ilmu Islam yang dimiliki oleh para pemimpin PAS? Bagaimana mungkin PAS mampu menyelamat dan mempertahankan orang Melayu, Islam dan negara ini, sekiranya ilmu mereka begitu lemah dan tahap pemikiran mereka terlalu ceteknya sehingga dihina dan diperleceh oleh Raja Petra?
3. Saya juga rasa malu, kerana sejahil-jahil Raja Petra berkenaan hukum-hakam Islam, tetapi argumannya banyak juga yang betul, khususnya berkenaan kehairanan beliau terhadap konsep hukum Hudud PAS yang dikatakan hanya untuk orang Islam sahaja. Sedangkan, keadilan itu sifatnya menyeluruh.
4. Saya rasa, Nasaruddin perlu belajar lebih mendalam berkenaan ilmu logik, mantik dan berdebat, agar hujah-hujah beliau lebih kemas dan tidak memalukan dirinya sendiri dan umat Islam. Mungkin ilmu agamanya tinggi, tetapi malang, kecerdikannya sangat rendah. Saya fikir, jika Nasaruddin berdebat dengan Raja Petra berkenaan hukum Hudud, beliau mungkin tergagap untuk menjawab, bahkan tidak mustahil dimalukan sahaja.