Muhyiddin cabar Saifuddin dedah identiti ‘ejen BN’ dalam PKR


(Bernama) – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR)Saifuddin Nasution untuk mendedahkan identiti mereka yang didakwa menjadi “ejen Barisan Nasional” dalam parti pembangkang itu.

Muhyiddin berkata, PKR patut bertanggungjawab ke atas masalah mereka sendiri dan bukannya bertindak menuduh orang lain.

“Dakwaan yang tidak berasas ini tidak harus kita layan. Tapi saya mahu mencabar Saifuddin supaya bagi bukti. Beritahu siapa dan dari parti mana mereka ini.

“Kalau orang yang mereka maksudkan ialah kita ni, atau orang dari luar… saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Saifuddin semalam bahawa kekecohan yang berlaku pada mesyuarat cabang parti itu pada hujung minggu lepas adalah unsur sabotaj yang didalangi sesetengah pihak dari luar yang sengaja mahu memporak perandakan mesyuarat yang sedang dijalankan.

“Apa yang berlaku dalam PKR sekarang harus dijadikan pengajaran kepada rakyat untuk menilai sifat sebenar parti itu yang disifatkan (oleh Muhyiddin) sebagai cakap tidak serupa bikin,” tegas Muhyiddin.

 



Comments
Loading...