Polis buka kertas siasatan berhubung kes seorang paderi


(Utusan Online) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kes seorang paderi yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, baru-baru, mengikut Akta Hasutan 1948.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya memandang serius perkara itu yang dianggap boleh mengugat ketenteraman kaum.

Katanya, berikutan itu, pihaknya mengarahkan polis Sarawak mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan paderi terbabit dan ia dikendalikan oleh polis Sarawak untuk siasatan di bawah Akta Hasutan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, PDRM telah diarah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat tindakan seorang paderi yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam.

Beliau berkata, ceramah yang dimuat naik ke dalam laman web YouTube itu merupakan satu tindakan biadab dan boleh mengugat keharmonian negara.

Beliau yang berang dengan perbuatan itu meminta PDRM merujuk kepada pejabat Peguam Negara merangka tindakan boleh diambil terhadap paderi terbabit.

Akhbar melaporkan pendedahan Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah.

Paderi tersebut dilaporkan menghina Islam ketika menyampaikan ceramah di sebuah gereja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Zainol dalam blognya http://mahaguru58.blogspot.com meminta pihak berkuasa bertindak sebelum umat Islam bertindak sendiri.

 



Comments
Loading...