Inikah cara BN pancing undi bukan-Melayu?


Oleh K Pragalath, Free Malaysia Today

KOMEN Dalam kejadian terbaru yang mengganggu-gugat sensitiviti kaum di Malaysia, timbalan pengarah Biro Tata Negara (BTN) Kuala Lumpur Hamim Husin dilaporkan menggambarkan masyarakat Cina sebagai ‘si mata sepet’ dan masyarakat India sebagai ‘kaki botol’ di dalam satu perjumpaan dengan ahli Puteri Umno.

Jika laporan ini benar, BTN telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam yang diwahyukan untuk manusia sejagat.
Hamim dilaporkan berkata sedemikian untuk menegaskan bahawa hak memerintah terletak di tangan masyarakat Melayu selaras hak keistimewaan orang Melayu.

Kenyataan sebegini oleh seorang kakitangan sebuah biro yang berfungsi secara langsung di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah memalukan.

Tindakan ini membuktikan bahawa BTN menjadi agen penularan semangat asabiyah di kalangan rakyat Malaysia.

Semangat asabiyah menjadi ikutan masyarakat Arab sebelum Islam diturunkan kepada umat manusia.

Frasa ‘si mata sepet’ dan ‘kaki botol’ pula membuktikan kejahilannya terhadap masyarakat lain. Sesungguhnya kedua-dua kaum Cina dan India adalah juga manusia ciptaan Allah swt juga. Mata sepet atau warna kulit tidak ditentukan oleh manusia.

Sementara itu, frasa ‘kaki botol’ merujuk kepada orang yang minum alkohol. Serbuan-serbuan yang dijalankan oleh pihak berkuasa di kelab-kelab malam membuktikan kehadiran kaki botol di kalangan orang Melayu juga. Penggunaan minuman keras tidak terhad kepada satu-satu kaum tertentu.

Masyarakat Cina dan India turut menyumbang tenaga demi negara tanah tumpahnya darah mereka ini.

Industri perlombongan bijih timah di sekitar tahun 1970an dan perladangan getah dalam era 1980an tidak akan meletakkan Malaysia di tangga pertama senarai negara pengeluar tanpa usaha “si mata sepet” dan “kaki botol”.

Buat kali kedua juga BTN telah melanggar tatasusila dan budaya masyarakat Melayu yang terkenal dengan sifat kesederhanaan dan saling hormat-menghormati. Kes pertama membabitkan BTN adalah apabila sukatan kursus BTN yang menyentuh pergerakan kaum tertentu didedahkan.

Persoalan Hamim

Persoalannya, adakah kedudukan orang Melayu begitu terancam di negara sendiri? Lebih 60% penduduk di sini merupakan masyarakat Melayu Islam.

 


Comments
Loading...