Wang ihsan: Umno minta Loke jangan ‘bising’, bukan orang Pulau Pinang


Oleh Syed Mu’az Syed Putra, The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Ketua Pemuda Sosialis DAP Loke Siew Foo tidak mempunyai hak untuk bersuara dan campur tangan dalam isu wang ihsan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipersoalkan pihaknya.

“Beliau (Loke) tiada hak untuk bercakap soal ini (wang ihsan), beliau orang luar bukan rakyat Pulau Pinang.

“Lagipun ini hal rumah tangga rakyat Pulau Pinang, jadi biar rakyat dan Ketua Menteri (Lim Guang Eng) sahaja yang terlibat,” kata Reezal kepada The Malaysian Insider.

Isu ini dilihat sebagai serangan terbaru Umno-BN terhadap pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Tambahnya, sebagai anak kelahiran Pulau Pinang beliau mempunyai hak untuk membawa rintihan rakyat di negeri itu.

“Saya bercakap sebagai seorang rakyat Pulau Pinang dan apa yang saya cuba bawa ini adalah rintihan rakyat,” katanya lagi.

Reezal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Loke (gambar) yang mengatakan bahawa beliau buta maklumat dan hipokrit apabila mempersoalkan skim wang ihsan dengan mendakwa ia bersumberkan hasil judi.

Loke berkata buat masa ini sebahagian hasil kerajaan persekutuan juga adalah hasil judi dan ia bukan perkara baru.

Kata beliau, hasil daripada aktiviti perjudian adalah dikategorikan sebagai hasil cukai kepada kerajaan.

Beliau memberitahu berdasarkan pada Perlembagaan Persekutuan Perkara 97 dan Akta Tatacara Kewangan 1957 (semakan) 1972 semua hasil atau terimaan yang diterima oleh kerajaan persekutuan hendaklah dikreditkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan adalah terdiri dari tiga akaun utama iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan.

Menurut Loke, bagi semua hasil daripada bayaran cukai ia akan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan sama seperti semua hasil kerajaan yang lain dan digunakan untuk tujuan belanja mengurus dan pembangunan negara.

Sebelum ini Pemuda Umno negeri mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan sumbangan sebuah syarikat perjudian sebagai wang ihsan kepada warga emas negeri itu.

Dakwaan itu berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program tersebut.

Dalam kenyataannya selepas itu, Lim yang mengakui menerima sumbangan tersebut berkata ia digunakan bagi program membasmi kemiskinan tegar dengan menerimanya adalah bukan Islam, bukan untuk penghargaan warga emas.

Selanjutnya di sini.

 



Comments
Loading...