PKR boleh diterima jika…………
Aspan Alias
Pakatan Rakyat mampu berkuasa selepas pilihanraya umum yang akan datang jika perkara-perkara dan elemen-elemen penting dapat diketengahkan. Saya lebih bermaksud untuk memberi teguran kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam tulisan saya kali ini. Saya secara peribadi melihat PKR mesti memberikan keutamaan kepada beberapa perkara pokok didalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.
Ramai khuatir jika PKR merasakan parti itu mendapat sokongan dalam pilihanraya yang lalu adalah kerana sokongan kuat rakyat kepada parti itu kerana kekuatan parti itu. Jika itu pandangan pucuk pimpinan PKR maka itu merupakan pandangan dan penerimaan yang agak salah.
Rakyat telah menerima parti-parti dalam PR adalah semata-mata kerana kemarahan rakyat terhadap UMNO dan sekutu-sekutunya dalam BN dan sesiapa sahaja yang diletakkan oleh PKR didalam pilihanraya itu mendapat undi rakyat. Kesangsian mereka kepada BN terlalu tinggi maka parti alternatiflah menjadi pilihan mereka.
Tetapi jika PR mahukan mandat rakyat untuk berkuasa kali ini PKR terpaksa menurunkan calun yang baik, setidak-tidaknya calun yang bernama dan mempunyai sedikit sebanyak pengalaman politik. PKR tidak lagi boleh meletakkan calun sembarangan seperti yang berlaku semasa pilihanraya yang lalu. Oleh kerana kemarahan rakyat yang memuncak maka rakyat memberikan undi kepada calun-calun PKR yang tidak berkebolehan dan elok dipandang orang ramai.
Tetapi jika PKR masih mengekalkan calun-calun yang menang dikalangan mereka yang diambil secara tangkap muat dulu maka PKR tidak akan sampai hajat dan cita-cita untuk menjadi parti yang berkuasa selepas PRU yang akan datang. Kali ini PKR memang sebuah parti yang diminati oleh ramai orang maka kali ini memilih calun yang boleh dibawa ketengah wajib dilakukan.
PKR mesti lakukan seperti yang dilakukan oleh DAP dan PAS. Parti-parti DAP dan PAS merupakan parti-parti yang serius, maka itulah sebabnya mereka diwakili oleh ramai pemimpin yang berkaliber tinggi dan tidak seperti calun-calun PKR. Orang ramai banyak yang beranggapan yang ‘personality’ pemimpin Melayu PKR jauh lebih berkurangan jika dibandingkan dengan ‘personality’ pemimpin-pemimpin PAS dan DAP.
Saya telah pun menyentuh sedikit sebanyak tentang isu ini seminggu dua yang lepas apabila saya membuat kenyataan yang jika PKR NS telah menurunkan seorang dua calun yang berkaliber dalam pilihanraya yang lepas PKR dan PR memang sepatutnya telah menguasai kerajaan NS.
Tetapi keadaan semasa itu menyebabkan ramai yang tidak berminat untuk bertanding kerana mereka tidak menyangka yang PKR dan PR mampu untuk memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri walaupun calun-calun PKR dipilih secara tangkap muat sahaja. Kali ini jika diturunkan juga beberapa orang yang lemah yang menang kerana tsunami politik BN dulu, maka saya percaya PR khususnya PKR belum tahu lagi akan mencapai matlamat menubuhkan kerajaan Negeri.
Mereka akan hanya dipilih semula oleh rakyat jika berlaku tsunami pilitik diNS kerana tidak ada perubahan kepada kepimpinan UMNO dan BN NS.
PKR dan siapa juga sedang memerhatikan apa yang berlaku didalam kepimpinan UMNO NS. Seandainya UMNO NS boleh mencadangkan seorang tokoh bnaru yang diyakini maka PKR akan sush untuk menyaingi imej penampilan didalam PRU nanti. Tetapi jika UMNO NS tidak nampak serius untuk mencari seorang tokoh yang tidak terlibat dalam rasuah dan salahguna kuasa maka PKR/PR mungkin boleh membawa kemenangan.
PKR sepatutnya mengambil kesempatan dalam pemilihan diperingkat Cabang dan Pusat kali ini untuk memilih tokoh-tokoh yang terbaik dari ramai yang baik itu. Perubahan dalam PKR bukan sahaja patut berlaku diperingkat cabang-cabangnya, tetapi juga diperingkat pusat bagi menaikkan imej parti itu dipandangan rakyat yang akan mengundi.
Diperingkat pusat Zaid Ibrahim telah memberikan pilihan untuk jawatan kedua tertinggi kepada parti dan ini merupakan penawaran yang sangat baik bagi parti itu untuk menjadi parti yang kuat dan bukan lagi parti yang dikuasai oleh segelintir pemimpin yang rapat dengan kelurga Anwar Ibrahim sahaja.
Mahu tidak mahu kita mesti akur kepada kenyataan yang hakiki; jika sesebuah parti itu diwujudkan kerana kekcewaan seorang dua pemimpin diatas kesilapan mereka sendiri, parti itu tidak akan kekal relevan dalam jangka masa yang panjang. Jika hakikat ini dapat diterima, insyaallah PKR akan menjadi relevan kerana kewujuddan parti itu adalah diatas dasar perjuangan yang baik.