Kes Saman Raja Petra 23 November


(Bernama) Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 23 November ini untuk pengurusan kes saman peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah terhadap pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin berhubung penyiaran tiga artikel yang didakwa memfitnahnya.

Ketika ditemui pemberita, peguam J.Chandra yang mewakili pengendali laman blog itu, berkata tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, K. Pavani di dalam kamar beliau hari ini.

Pada 13 Ogos 2008, Muhammad Shafee memfailkan saman terhadap Raja Petra, 58, kerana menyiarkan tiga artikel berunsur fitnah terhadapnya pada 6, 7 dan 11 Ogos 2008.

Artikel itu bertajuk, Shafee Abdullah:
“Sodomologist Extraordinaire; Money, Power and Sex: What Motivates Man”, dan “The Real Dalang Behind The Anwar Sodomy Allegation”.

Dalam saman itu, plaintif memohon perintah injunksi bagi menghalang Raja Petra menyiarkan artikel berkenaan dan komen-komen yang dihantar oleh pelawat laman web berkenaan.

Artikel tersebut telah ditarik balik setelah mahkamah membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan perintah injunksi secara ex parte (sebelah pihak).

Raja Petra dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 25 November 2008, menafikan tiga artikel itu yang disiarkan di Malaysia Today adalah palsu, berniat jahat atau memfitnah Muhammad Shafee.



Comments
Loading...