Satu dubur tentukan masa depan Malaysia


Apakah makna yang tersirat di sebalik segala-gala ini?  Ertinya, sementara kerajaan Malaysia bertungkus-lumus dalam usahanya untuk “menghilangkan keyakinan” rakyat terhadap Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung akibatnya – kehilangan keyakinan daripada pelabur asing dan anak watan yang berbakat.

Lim Hong Siang, Merdeka Review 

Saya tidak menganggap rakyat Malaysia memerlukan drama politik sebegini, sama ada sebagai hiburan untuk meredakan tekanan hidup harian, mahupun sebagai rancangan realiti untuk meningkatkan pengetahuan seks masyarakat umum merentasi sempadan umur.

Saya tidak pasti apakah kesudahannya, malah saya lebih mencurigai apakah ia mempunyai kesudahan.  Saya tidak tahu sama ada benar atau mampu Anwar Ibrahim melakukannya, saya juga tidak berminat sama ada Saiful Bukhari Azlan mencuci duburnya, bahkan saya tidak pasti versi akuan bersumpah (SD) Rahimi Osman (gambar kiri, kedua dari kiri) manakah yang ditandatanganinya tanpa paksaan.

Apa yang pasti, dubur Saiful Bukhari Azlan akan terus dijadikan tumpuan satu Malaysia, malah satu dunia.  Ruang dada akhbar akan sarat dengan berita pendedahan demi pendedahan untuk menghakis dan menggoyah keyakinan rakyat terhadap Anwar Ibrahim; bekas rakan seperjuangannya akan tampil seorang demi seorang untuk membongkar “wajah sebenar” Anwar, dan ruang rencana akan menyiarkan artikel demi artikel untuk mengupas, menganalisa, malah meramalkan masa depan Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) – yang sudah tentu akan hancur dan ranap dalam masa terdekat, kononnya.

Jelas, ini kes politik

Saya menghormati proses perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung, malah untuk mendukung prinsip keadilan saya terpaksa menghormati juga mereka yang berhempas-pulas menegakkan keadilan, kononnya, untuk Saiful Bukhari Azlan.  Namun demikian, segala-gala ini gagal mengubah hakikat bahawa Kes Sodomi II ini merupakan kes politik.

Dari segi undang-undang, Anwar Ibrahim didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan – kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabii yang melibatkan dua pihak secara sukarela.  Dengan kata lain, Saiful Bukhari Azlan perlu tampil sebagai tertuduh bersama Anwar, dan bukannya pengadu yang memberi keterangan – seandainya mengikut Seksyen 377B.

Namun demikian, Saiful mendakwa dirinya diliwat tanpa kerelaan sejak awal lagi.  Jadi, Anwar seharusnya didakwa di bawah Seksyen 377C, iaitu hubungan seks di luar tabii secara paksaan – barulah Saiful boleh tampil ke mahkamah sebagai “pengadu”.  Apa yang berlaku kini memperlihatkan kontradiksi yang ketara antara pertuduhan dengan keterangan pengadu.

Justeru itu, sukar untuk kerajaan Najib Abdul Razak meyakinkan rakyat bahawa sistem kehakiman profesional dan bebas ketika membicarakan Kes Sodomi II ini.  Malah, tidak mungkin ia sekadar “kes jenayah” biasa, seandainya dilihat kepada pendekatan lidah UMNO, Utusan Malaysia membuat liputan berita ini.

Liputan luas diberikan kepada kandungan soal-jawab dalam perbicaraan mahkamah.  Malah, perbincangan isu ini dilanjutkan dengan wawancara bersama bekas pemimpin PKR, yang menyindir agar “Anwar tidak perlu takut”, sambil mempertikaikan “Kenapa mahu tangguh perbicaraan kalau tidak bersalah?”  Kemudian bekas orang kanan tampil memohon maaf, “Kerana membela Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertamanya”.  Sumpah-seranahnya bagaikan ludah ke langit, dan jatuh bagaikan hujan kebetulan ketika menjelang pilihan raya kecil…

Buktikan liwat tanpa tusukan?

Saya tidak nampak bahawa ulasan, kupasan, atau analisa yang terpampang di depan mata ketika kita menyelak akhbar ini memberi makna.  Laporan pemeriksaan doktor telah menyatakan bahawa tiada kesan tusukan ditemui, namun perbicaraan tetap berjalan.  Jadi, segala-gala ini seolah-olah cubaan untuk membuktikan kepada satu Malaysia, malah seluruh umat manusia di dunia ini bahawa air mani Anwar boleh sampai ke dalam dubur Saiful tanpa tusukan.

Persoalannya, jikapun dibuktikan keajaiban ini berlaku di tanahair yang tercinta ini, apakah kehebatan ini bakal mengundang pelabur asing untuk menyuntik dana ke Malaysia?  Padahal, belumpun paip ekzos Saiful terbocor, seramai 304,358 orang bakat buatan Malaysia telah mengalir ke luar negeri, antara Mac 2008 hingga Ogos 2009, apatah lagi kemerosotan 81% dalam pelaburan asing langsung di Malaysia, dari US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada tahun 2008, kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada tahun 2009?

Apakah makna yang tersirat di sebalik segala-gala ini?  Ertinya, sementara kerajaan Malaysia bertungkus-lumus dalam usahanya untuk “menghilangkan keyakinan” rakyat terhadap Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung akibatnya – kehilangan keyakinan daripada pelabur asing dan anak watan yang berbakat.

Jelas, Anwar Ibrahim (gambar kiri) diletakkan pada kedudukan sedemikian bukan kerana beliau Ketua Umum PKR, atau kedudukannya sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat.  Bahkan, adalah kurang tepat jikalau beliau sekadar Ketua Pembangkang dalam parlimen.  Kita tidak perlu menjadi Profesor Sains Politik untuk memahami hakikat Anwar Ibrahim berpotensi menjadi Perdana Menteri, dan kita tidak perlu membaca Sun Tze untuk memahami percaturan politik yang berlangsung di depan mata.

Teorinya mudah – musnahnya Anwar, maka terselamatlah Barisan Nasional.

Politik menabur dendam

Untuk tidak dilihat naif dalam politik, saya menerima babak ini sebagai sebahagian daripada pergelutan kuasa antara pemerintah dengan pembangkang, atau dalam realitinya, antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.  Dalam konteks Malaysia, serangan politik yang menyentuh keperibadian kadang-kala tidak dapat dielakkan, meskipun pendekatan ini amat dipertikaikan.  Kita masih jauh dari persaingan politik yang sihat – perdebatan politik yang diangkat martabatnya untuk membicarakan soal struktur dan sistem.

Berbalik kepada persoalan, apakah keperluannya untuk mengaibkan musuh politik dan keluarganya dengan cara sebegitu rupa?  Untuk ramai warga Malaysia yang prihatin terhadap politik, babak perebutan kuasa yang paling dahsyat dalam sejarah Malaysia melabuh tirai pada 2 September 2004 – apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara.  Ianya bukan soal sama ada benar Anwar Ibrahim terlibat dalam kelakuan sodomi, tetapi pengaiban dan penghinaan secara terbuka yang melampaui batas.

Pengaiban secara terbuka terhadap Anwar dan keluarganya telah menyemai benih dendam di kalangan penyokongnya.  Ia amat berbeza dengan persaingan politik “siapa lebih Islam atau siapa lebih Melayu”, antara UMNO dengan PAS, atau Semangat 46 pada zaman 1990-an.  Penghinaan secara terbuka untuk mengaibkan seorang isteri bernama Wan Azizah Ismail, tanpa mempertimbangkan perasaan anak-anaknya – dengan aksi-aksi lucah, gambar-gambar yang diubahsuai, kata-kata yang kasar lagi kesat seperti “kaki buntut” dan sebagainya ketika berkempen, terlalu biadap namanya.

Usaha Abdullah Ahmad Badawi untuk membubuh noktah kepada babak politik yang menabur dendam ini disia-siakan begitu sahaja apabila UMNO-BN semakin terdesak di ambang hilang kuasa.  Kita tidak lupa bagaimana doktor Hospital Pusrawi, Mohamed Osman Abdul Hamid membuat akuan bersumpah untuk mempertahankan laporannya (berbunyi Saiful tidak diliwat) selepas memeriksa dubur Saiful, dan kemudian menghilangkan diri kerana tidak tahan dengan gangguan dan tekanan daripada pihak berkuasa.

Dan drama ini dipentaskan semula, selepas satu dekad.  Anak-cucu yang melanggan Utusan Malaysia atau Berita Harian kerana sisipan DIDIK, SKOR dan sebagainya, pada masa yang sama ditayangkan adegan bagaimana kelakuan liwat boleh berlaku – dalam bentuk bertulis…  Satu generasi membesar dalam suasana media yang sarat dengan istilah “liwat”, “sodomi” – imaginasi masyarakat awam digarap dengan tilam yang naik turun di mahkamah pada akhir tahun 1990-an; kini kita pula menyaksikan satu generasi lagi yang membesar dalam suasana media yang tidak banyak berbeza, mungkin cuma tilam digantikan dengan KY jelly untuk mencungkil imaginasi…

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...