YB Dato’ Khaled Nordin, sila undur
Sandiwara politik mengacah kapasiti intelek mahasiswa yang cuba dimainkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malysia, Dato Khaled Nordin, jelas memperlihatkan bahawa beliau bukanlah seorang yang selayaknya duduk pada kerusi menteri yang memegang portfolio hal ehwal mahasiswa. Oleh itu, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) mendesak beliau untuk bertanggungjawab dan berundur daripada jawatan sebagai menteri.
Merujuk kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau sejak semarak pilihanraya kecil DUN Galas, kita dapat lihat bahawa beliau adalah seorang menteri yang sering membuat keputusan bukan atas dasar idealisme atau kehormatan kepada hukum dan undang-undang, malah sebenarnya lebih mudah bertindak atas tekanan dan emosi serta kepentingan politik tanpa mempedulikan tanggungjawabnya sebagai contoh tauladan untuk barisan pemimpin masa depan.
YB Dato’ Khaled Nordin sepatutnya berasa malu dengan timbalan beliau sendiri, YB Dato Saifuddin Abdullah yang mempunyai pendirian yang jelas tentang keterlibatan mahasiswa dengan politik Negara. Ini dilihat jelas melalui galakkannya kepada mahasiswa untuk bersuara dari pentas-pentas Speakers’ Corner yang beliau cetuskan kembali. Saya kira, YB Dato Saifuddin lebih mendapat tempat di hati mahasiswa berbanding YB Dato’ Khaled yang sering mempunyai pandangan yang bertentangan dengan mahasiswa sendiri.
YB Dato’ Khaled juga wajar untuk berasa malu dengan MCA yang turut memiliki pendirian jelas terhadap keterlibatan politik di kalangan mahasiswa dengan menggesa supaya Akta Universti dan Kolej Universiti itu dipinda secara besar-besaran. Ini digambarkan dengan jelas dalam Mesyuarat Agung Tahunan MCA yang selesi berlangsung minggu lepas.
Menurut pandangan KAMI, Menteri Pengajian TInggi seharusnya menjadi suara kepada anak mahasiswa dan idealisme intelek yang dibawa dari lapangan varsity untuk kebaikan masyarakat agar lebih matang. Malangnya, kita sendiri melihat pendirian dan tindakan YB Menteri adalah satu mekanisme untuk membunuh peranan mahasiswa dalam kampus dan masharakat.
Adalah amat menyedihkan untuk melihat seorang Menteri yang sering menukar-nukar pendirian dan pandangannya untuk sebab-sebab politik dan kepentingan semata-mata. Seorang Menteri seharusnya sudah memutuskan pendirian dan idealismenya serta bijak membaca tuntutan umum.
Justeru, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dengan tegas mendesak agar YB Dato’ Khaled bertanggungjawab atas pandangan dan pendiriannya. Maka KAMI mendesak agar YB Dato’ segera berundur daripada jawatan menteri untuk disesuaikan dengan seorang pemimpin yang lebih bertanggungjawab, berprinsip, berpendirian dan lebih memahami hasrat mahasiswa.
Sekian, terima kaseh.
Hilman Idham,
Presiden,
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)