Federalisma: Najib jauh beza dengan bapanya


(Harakahdaily) – Semangat federalisma zaman Datuk Seri Najib Razak didakwa sangat berbeza dengan zaman pentadbiran bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, Abdul Razak sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-2 banyak membuat jasa kepada rakyat dan dikenang sehingga hari ini.

Beliau merujuk isu tuntutan royalti Kelantan dan hak peneroka Felda yang dinafikan zaman Najib sehingga kedua-duanya terpaksa diselesaikan melalui saluran mahkamah.

“Saya rakamkan disini ucapan Tun Razak pada 12 November 1975 ketika duduk dibangku itu berkata, tiap-tiap negeri menerima 5% dari petroleum yang dijumpai sama ada di dalam atau di luar kawasan perairan negeri tersebut.

“Malangnya rakyat dan kerajaan negeri Kelantan tiada pilihan lain, terpaksa guna saluran mahkamah setelah semangat federalisma dilanggari,” katanya ketika membahaskan Bajet 2011.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, di zaman Tun Razak semangat federalisma sangat subur dengan hasrat mahu mengeluarkan rakyat dari belenggu kemiskinan.

Ianya termasuk hasrat asal perjanjian Akta Petroleum 1974 dan penubuhan Felda itu sendiri.

“Di zaman YAB Pekan menjadi Perdana Menteri Malaysia, dua agensi ini menyaksikan rakyat terpaksa menggunakan mahkamah untuk mendapatkan hak mereka.

“Jauh nampaknya pendekatan dan hati budi dua beranak ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan perkara sama boleh berlaku bukan sahaja kepada Kelantan dan Terengganu, malah juga kepada Sabah dan Sarawak yang juga kaya dengan petroleum.

“Nampaknya semakin jauh kita meninggalkan garis kemerdekaan, semangat federalisma juga kian luntur,” tambahnya lagi.

Selain meminta penjelasan menteri berhubung beberapa dakwaan salah urus Felda, beliau juga mahu kerajaan menjelaskan berhubung kerugian RM8 bilion syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

Sebelum itu beliau turut mencadangkan agar kerajaan menggenapkan 5 tahun untuk sepenggal sebelum diadakan pilihan raya semula.

Katanya, amalan sekarang yang hanya dua tahun ke tiga tahun sepenggal, bukan sahaja tidak praktikal untuk wakil rakyat berkhidmat, malah meletakkan rakyat dalam tanda tanya.

 



Comments
Loading...