Muhyiddin emosi, cuba tutup janji Manek Urai


(Harakahdaily) – PAS mendakwa kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyidn Yasin yang mengatakan “Kalau hendak harapkan PAS, seperti menunggu bulan jatuh ke riba” sebagai cubaan menutup janji Umno yang belum tertunai di Manek Urai.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Muhyiddin sebenarnya sedang beremosi apabila janji di Manek Urai belum lagi ditunaikan, namun kini datang pula Pilihan Raya Kecil (PRK) di Galas yang hanya bersebelahan.

“Kenyataan ini dikeluarkan untuk menutup kelemahan beliau sewaktu berjanji di pilihanraya kecil Manik Urai.

“Ia merupakan satu mimpi yang menakutkan, kerana tidak terfikir ada pula pillihanraya kecil di Kelantan, kebetulan tidak jauh daripada Manik Urai.

“InsyaAllah rakyat Galas akan ajar pemimpin dan parti yang pandai menabur gula di bibir pada 4 hb Nov 2010,” katanya.

Muhyiddin didakwa berkata demikian sewaktu sidang media selepas pengumuman calon BN bagi PRK Galas, di Gua Musang semalam.

Tambah Idris lagi, kenyataan Muhyidin itu juga seperti menggambarkan beliau seorang yang terhalang dari menerima maklumat dan tidak pernah melihat bagaimana PAS Kelantan membangunkan negeri selama 20 tahun lebih memerintah.

“Ini satu kenyataan yang bersifat emosi, mungkin Tan Sri Muhyiddin baru keluar betapa daripada Gua Tempurung terus ke Galas.

“Mungkin beliau juga seorang yang buta maklumat dan tidak pernah melihat dunia Kelantan,” tambahnya lagi.

Muhyiddin juga jelasnya seperti membuka pekong sendiri apabila menuding kepada PAS Kelantan sedangkan rakyat Sabah di bawah pemerintahan BN selama 50 tahun, masih tidak terbela.

“Sabah di bawah umno yang masih ketinggalan, nombor satu miskin dan diikuti oleh negeri Terengganu. Kedua-dua negeri ini Umno yang memerintah dan mempunyai minyak, tetapi rakyatnya makan taik minyak.

“Sedangkan Kelantan yang diperintah oleh PAS, menduduki nombor enam, kemajuannya jauh berbeza dengan negeri yang Umno perintah.

“Sepatutnya Tan Sri Muhyiddin kena merasa malu, kenapa Sabah yang kaya dengan hasil mahsul bumi, tetapi menjadi negeri termiskin di Malaysia?,” soalnya lagi.

Menurutnya lagi, pengundi Galas sudah selesa di bawah PAS dan Pakatan Rakyat dan mereka sendiri telah melihat keupayaan PAS memerintah Kelantan berbanding dengan Umno.

Rakyat Galas katanya sudah muak dengan sikap Umno yang hanya bercakap dengan penuh retorik ketika pilihanraya.

Rakyat juga katanya tahu, sikap buruk kerajaan pusat di bawah Umno BN yang tidak hormat federalisme menyebabkan 118 projek kerajaan pusat di Kelantan  tidak dilaksanakan sejak RMK 6.

“Inilah sikap busuk hati pemimpin umno yang mengkhianat sesama bangsa, kerana perbezaan ideologi.

“Usah buang masa  di Galas. Rakyat Galas sudah tidak perlu kepada Umno dan orang-orang yang sama seperti Muhyiddin,” tegasnya.

 



Comments
Loading...