Menggalas Galas Dan Batu Sapi
A Kadir Jasin
BUKAN mudah bagi BN menggalas Galas dan mengangkat Batu Sapi. Kerusi DUN Galas, Kelantan milik Pas manakala kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah walaupun disandang BN, namun menghadapi pertandingan sengit tiga penjuru.
Di Galas, BN (Umno) berdepan dengan Pas. Pas akan disokong oleh DAP dan PKR. BN mengemukakan setiausaha bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff, manakala Pas menawarkan seorang ahli profesional, Dr Dr Zulkefli Mohamad, 45 tahun.
Pada pilihan raya umum 2008, calon Pas Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamad Saufi Deraman dengan kelebihan undi sebanyak 646. Beliau mendapat 4,399 undi berbanding Mohamad Saufi 3,753. Sebanyak 80.89 peratus keluar mengundi.
Di Batu Sapi, BN yang meletakkan balu mendiang Edmund Chong, Linda Tsen Thau Lin, 54 dari PBS akan ditentang oleh bekas Ketua Menteri, Yong Teck Lee mewakili Parti Progresif Sabah (SAPP) dan peguam Ansari Abdullah mewakili PKR.
Hakikat bahawa Batu Sapi sangat penting kepada BN dan PKR diserlahkan oleh kehadiran Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Setelah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada awal 2009 dan Sibu (Sarawak) Mei lalu, BN tidak mampu kalah di Batu Sapi. Kekalahan di Batu Sapi akan menjadi petanda buruk kepada kemampuan BN mempertahankan kesepaduan sokongan di Sabah. Pada PRU 2008, BN menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu. Kerusi tunggal pembangkang dimenangi DAP.
Dalam PRU 2008, mendiang Ir Edmund Chong Ket Wah dari BN (PBS) mengalahkan calon bebas Dr Chung Kwon Wing (bebas) dengan majoriti 3,708. Beliau mendapat 9,479 undi manakala Dr Chung mendapat 5,771. Hanya 63.6 peratus keluar mengundi dan undi yang ditolak agak banyak –730 – membayangkan wujud unsur protes.
Faktor Ku Li Di Galas
DALAM keadaan biasa, pilihan raya kecil Galas tidaklah menjanjikan apa-apa di luar jangkaan. Tetapi keadaan menjadi tidak biasa, walaupun bukan luar biasa, apabila BN melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah PRK itu.
Seperti kita maklum, Ku Li adalah Ahli Parlimen Gua Musang dan Galas adakah salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam kawasan itu. Dua lagi adalah Paloh dan Nenggiri yang dimenangi BN. Pada PRU 2004, Galas dimenangi BN.
Ada pendapat mengatakan pelantikan Ku Li adalah tepat kerana Gua Musang adalah “empayar” beliau dan beliau berupa pemuka Umno yang paling kanan dan, boleh jadi juga, paling popular di Kelantan sekarang kerana pendiriannya mengenai isu royalti petroleum negeri itu.
Malah ada yang berpendapat, jika BN berjaya merampas kembali Galas atau setidak-tidaknya mengurangkan majoriti Pas, imej Ku Li akan mendapat anjakan dan sesuai dijadikan ketua de facto Umno Kelantan bagi menghadapi PRU akan datang.
Ini bukanlah sesuatu yang mustahil atau luar biasa, malah berupa salah satu formula yang berkemungkinan membawa kejayaan kepada BN/Umno. Untuk itu, kita perlu berbalik kepada sejarah.
Pada tahun 1977, Ku Li menjadi wajah Umno dalam krisis kepemimpinan BN Kelantan yang tercetus akibat perselisihan antara Presiden Pas, Allahyarham Asri Muda dan Menteri Besar, Allahyarham Mohamad Nasir, yang juga dari Pas.
Apabila perkelahian itu mencetuskan tunjuk perasaan di Kota Baru dan persidangan DUN diganggu oleh penunjuk perasaan, darurat diisytiharkan, pemerintahan Kelantan diambil alih oleh kerajaan pusat dan seorang Pengarah Kerajaan dilantik mentadbir Kelantan.
Dalam tempoh itulah, Allahyarham Tun Hussein Onn, memberi mandat kepada Ku Li menerajui pembangunan Kelantan sebagai ketua de facto Umno/BN. Ku Li memperkenalkan Rancangan Pembangunan Kelantan dan dalam tempoh itulah pembangunan Kelantan, khasnya daripada aspek infrastruktur ekonomi dan sosial, paling rancak.
Pada akhir tahun 1977 Pas disingkirkan daripada BN dan dalam PRU 1978 BN menewaskan Pas dan memerintah Kelantan sehingga tahun 1990 dengan Ku Li sebagai ketua de factonya.
Pada PRU 1990, Ku Li membantu Pas merampas semula Kelantan daripada BN melalui parti barunya, Parti Melayu Semangat 46. Beliau menubuhkan pakatan pilihan raya dengan Pas, Barisan Jemaah Islamiah se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) yang diberi nama Angkatan Perpaduan Ummah (Apu). APU menyapu bersih kesemua 39 kerusi DUN Kelantan — 24 Pas dan 15 Semangat 46.
Tetapi jiwa Ku Li adalah jiwa Umno. Apabila perselisihan beliau dengan Dr Mahathir Mohamad reda dan pengaruh Semangat 46 semakin merosot, pada bulan Mei 1996, Ku Li mengumumkan kepada 200,000 ahli parti itu yang beliau akan membubarkan Semangat 46. Parti itu dibubarkan dalam bulan Oktober dan majoriti ahlinya menyertai Umno semula.
Dalam PRU 2008, hanya dua orang pemuka BN Kelantan masih berdiri. Salah seorang daripadanya adalah Ku Li dan seorang lagi, Mustapha Mohamed aka Tok Pa. Yang lain hanyut. Bagi saya, dua orang inilah yang masih menjanjikan harapan bagi BN kembali menguasai Kelantan.
Belum Ada Formula Berkesan BN Tawan Kelantan
SETELAH pelbagai formula dilaksanakan dan berbagai watak dilantik mengetuai Umno Kelantan, BN terus gagal menakluki semula negeri itu. Hatta pada tahun kemuncak kejayaan BN iaitu dalam PRU 2004, BN masih gagal menjatuhkan Pas.
Siapa tahu, mungkin dengan memberi peranan lebih besar kepada Ku Li, BN mampu bermimpi dengan lebih realistik untuk memperbaiki prestasinya di negeri itu, bermula dengan Galas.
Tetapi kalau Umno dan BN terus menggunakan pendekatan “carpet bombing” dengan menggula-gulakan pengundi, harapannya untuk menang mungkin tidak secerah yang diuar-uarkan. Kesombongan, tunjuk kuat dan tunjuk kuasa semakin tidak berkesan sebagai strategi pilihan raya.
Ahli dan penyokong Umno sendiri semakin mengakui kesederhanaan dan keakraban pemuka-pemuka Pas. Mereka sentiasa di padang bersama rakyat jelata berbanding pembesar Umno yang semakin elitis dan eksklusif walaupun Presiden Umno sendiri, Mohd Najib Abdul Razak, kini menjadikan keterangkuman (inclusiveness) dan keadilan sosial mantera beliau.
Buat masa ini, ramalan memberikan BN dan Pas peluang yang sama rata untuk memenangi Galas. Tetapi di segi kelulusan, nampaknya calon Pas menyerlah. Inilah yang nampaknya memberi Pas kelebihan sejak sedekad dua ini.
Pas mampu mengemukakan ramai calon profesional dan berwibawa, sedangkan Umno masih terperangkap dalam sistem mafia dan warlords di mana kepemimpinan yang sedia ada sangsi, curiga dan takut dengan kemasukan ahli muda dan golongan profesional.
Selagi amalan menyekat kemasukan ahli muda dan golongan profesional ini berterusan, selagi itulah kepemimpinan muda akan tersisih dan memberi peluang mudah kepada Pas untuk mendapat suntikan darah muda.
Namun bagi PRK Galas, Pas pastinya bimbang situasi Manik Urai di mana BN hampir-hampir merampas kerusi DUN itu Julai lalu akan berulang. Apatah lagi ia menang di Galas dengan kelebihan undi yang lebih kecil berbanding Manik Urai. Bagi BN, kalau trend Manik Urai berterusan, harapannya menang adalah baik.