Aktivis Reformasi Mendesak Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR dikaji semula


Aktivis Reformasi menyatakan kekesalan tentang kesalahan maklumat dari Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat yang berlaku hari ini, yang telah menimbulkan kekeliruan berhubung pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2010. Aktivis Reformasi merasakan apa yang berlaku hari ini selepas rentetan demi rentekan isu teknikal yang berlaku sebelum ini menunjukkan kelemahan ketara Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR (JPP) dan pihak Sekretariat Ibu Pejabat sebagai pengendali pemilihan Parti 2010.

Kesilapan melaporkan keputusan pemilihan Parti bagi jawatan Timbalan Presiden antara YB Azmin Ali dan Dato’ Zaid Ibrahim memperlihatkan kelemahan kedua-dua badan tersebut. Perkara ini berlaku apabila Timbalan Setiausaha Agung Parti, Puan Syarifah Shahidah pagi tadi melalui akaun twitternya telah mengeluarkan  keputusan yang menggambarkan bahawa Dato’ Zaid Ibrahim sedang mendahului YB Azmin Ali dan disiarkan sebagai keputusan rasmi dalam kolum rasmi pemilihan 2010 di website Parti.

Ini menyebabkan media dan portal internet melaporkan bahawa Dato’ Zaid kekal mendahului undi Timbalan Presiden selepas hari ketiga. Namun apa yang berlaku setelah menyedari kesilapan Setiausaha Agung PKR, YB Saifuddin Nasution telah memberikan angka yang sebenar iaitu YB Azmin mendahului undi bagi jawatan Timbalan Presiden.

Kami melihat kelemahan kedua-dua badan tersebut adalah pada perkara paling asas mengumumkan keputusan pemilihan. Hal ini adalah sesuatu yang tidak adil bagi YB Azmin Ali dan juga bagi pihak Dato’ Zaid Ibrahim yang sedang merebut jawatan nombor dua Parti. Dan ianya juga memberi kesan psikologi dan mental kepada para penyokong kedua-dua pemimpin utama yang giat berkempen di bawah.

Kesilapan demi kesilapan teknikal yang berlaku disebabkan JK Pemilihan Pusat dan Sekretariat Ibu Pejabat Parti telah memberi impak yang negatif, imej buruk yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan Parti untuk mentadbir negara. Akan lebih malang lagi jika rakan Parti Pakatan Rakyat PAS dan DAP mula hilang keyakinan kepada kemampuan Parti untuk bersama Pakatan Rakyat.

Oleh itu, kami mendesak Pimpinan Parti, khususnya Ketua Umum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil perhatian pandangan aktivis reformasi. Kita mengkritik kelemahan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak adil dan telus, dan sepatutnya kita memberi contoh kepada SPR bagaimana hendak mengendalikan pilihanraya dengan adil dan telus. Pimpinan Parti mesti mengambil langkah segera berhubung perkara ini, jangan sampai kita diberi pepatah “Seperti ayam yang berkokok berdegar-degar tetapi ekor penuh tahi”.

Salam reformasi. 


Comments
Loading...