Kalau saya masih dalam PKR, saya akan pilih Zaid Ibrahim


Zukri Aksah, Merdeka Review

Tidak salah sebenarnya untuk mengangkat seseorang yang ada latar belakang kepimpinan UMNO atau BN sebelum ini ke posisi tertinggi yang mungkin dalam PKR.  Dalam kehangatan kempen pemilihan PKR sekarang, isu ini tidak sewajarnya dimainkan, lainlah jika ada orang yang boleh menemukan persamaan antara susuk Zaid Ibrahim dengan mana-mana “tokoh” dalam Konsensus Bebas di parlimen.

Kita kena ingat, Nabi Musa lahir dari dokongan Firaun.  Sebagaimana Masyitah, si tukang sisir puteri Firaun yang Muslim dalam istana Firaun, Zaid juga ketika masih lagi di dalam UMNO sudah menunjukkan bahawa dia menganut banyak agenda yang diperjuangkan PKR, termasuk Negara Berperlembagaan, mengangkat keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta mempertahankan doktrin pemisahan kuasa.

Ini dibuktikannya bila sewaktu menjawat jawatan Menteri Undang-Undang (baca: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri), Zaid telah meluluskan pembayaran gratuiti kepada bekas-bekas hakim yang telah dipecat di era Mahathir, termasuklah Salleh Abbas, yang sudah sah seorang ahli PAS, pernah bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya, dan pernah menjadi Exco Hisbah dalam Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kekuasaan PAS dari 1999 – 2004.  Nyata prinsip yang dipegangnya melangkaui taksub politik.

Masyitah bersama anak-anaknya direbus hidup-hidup oleh Firaun, Zaid Ibrahim dipecat dari UMNO.  Tetapi bila Zaid memilih untuk mencari ruang kepimpinan dalam PKR, apakah akan ada orang PKR pula yang mahu “merebus” Zaid?

Memang mungkin Zaid ada cerita gelap pasal hobi peribadinya satu ketika dahulu.  Zaid ketika itu hidup dalam istana UMNO, secara umumnya saya boleh katakan Nabi Musa, ketika hidup di istana Firaun, makan apa yang Firaun makan, minum apa yang Firaun minum.  Tetapi selepas wahyu kenabian, Nabi Musa adalah manusia baru yang dibersihkan Tuhan.

Maka ketika dalam istana UMNO, Zaid juga makan apa yang UMNO makan, minum apa yang UMNO minum.  Saya suka membaca biografi, saya membaca biografi Almarhum Tunku, saya juga membaca biografi Allayarham Dr. Ismail, kedua-duanya dicerita sebagai “peminum”, harus dinyatakan di sini, biografi Almarhum Tunku yang saya baca adalah tulisan Ramlah Adam, yang dikenal sebagai profesor UMNO, buku itu pula diterbitkan oleh DBP.

Cerita Nabi Musa dan Masyitah mungkin contoh yang terlalu besar untuk digandingkan dengan Zaid.  Hakikat bahawa Anwar Ibrahim juga bekas pemimpin kanan UMNO, bahkan lebih kanan dari Zaid yang kini sedang diyakini memimpin PKR tidak pernah diperdebatkan kesetiaannya.  Kamaruddin Jaafar, juga bekas pemimpin UMNO, pernah dipercaya untuk menjadi Setiausaha Agung PAS, jauh sebelum itu, Kampoo Rajoo, bekas pemimpin BN/Perikatan, pernah beralih ke pembangkang dan kemudiannya menjadi pemimpin aliran kiri yang disegani dan dihormati.

Lalu, kenapa Zaid Ibrahim tidak boleh diberi peluang?

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...