PAS di Galas, PKR di Batu Sapi untuk kesejahteraan


Para pengundi sekalian wajar menggunakan kesempatan dalam pilihan raya kecil (PRK) esok untuk menjadi hakim yang adil dalam satu proses demokrasi.

Justeru, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru mereka agar hendaklah memilih untuk bersama dengan PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi untuk kesejahteraan rakyat dan masa depan yang lebih baik.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Saya ingin melahirkan perasaan amat gembira di atas kesempatan untuk bertemu mata dan mengunjungi penduduk di kawasan Pilihan Raya Kecil Dun Galas, Kelantan dan kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah sepanjang tempoh kempen pilihan raya di kedua-dua kawasan yang berhadapan dengan pilihan raya kecil ini.

Apa yang boleh saya simpulkan ialah: Para pengundi sekalian wajar menggunakan kesempatan ini untuk menjadi hakim yang adil dalam satu proses demokrasi bagi memilih untuk bersama dengan PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi pada hari esok Khamis, 4 November 2010 untuk kesejahteraan rakyat dan masa depan yang lebih baik.

Kepada pengundi di DUN Galas: Kita sudah melihat kejayaan PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun terbukti menerusi kepimpinan beramanah dalam menguruskan hasil negeri, menguruskan pentadbiran dan melaksanakan pembangunan seimbang kepada seluruh rakyat. Tidak ada sebarang kes rasuah atau salahguna kuasa melibatkan kepimpinan kerajaan negeri. Ia berbeza sama sekali dengan pemerintahan Barisan Nasional yang begitu mendarah daging dengan kes rasuah.

Oleh itu, sewajibnya pengundi di Galas memberi undi kepada PAS bagi  meneruskan usaha pentadbiran kerajaan negeri membina kemajuan kepada seluruh masyarakat ketahap yang lebih baik.

Buat pengundi di Parlimen Batu Sapi: Tuan puan sekalian sudah melihat bagaimana penyakit pemerintah yang tidak amanah telah berlaku sehingga menyebabkan Sabah yang asalnya adalah sebuah negeri yang kaya dengan hasil buminya, tetapi telah dipinggirkan oleh kerajaan BN dari sudut kemudahan asas dan infrastruktur.

Jalan raya, bekalan air dan elektrik yang belum selesai dalam keadaan negara sudah merdeka lebih 50 tahun. Maka amanah untuk memimpin rakyat ini harus diberikan kepada Pakatan Rakyat.

 Suara rakyat di Batu Sapi khususnya mestilah didengarkan di Parlimen tanpa ada sekatan dan kebimbangan jika wakil rakyat yang dipilih daripada Pakatan Rakyat. Jika Barisan Nasional terus diberi pilihan, maka suara mereka tidak bebas di parlimen kerana tertakluk kepada kehendak parti pemerintah.

Sekian. Terima kasih.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS

 



Comments
Loading...