Syabas UKM tidak ambil tindakan terhadap pelajar di perhimpunan Umno


Dengan kebenaran pihak UKM terhadap pelajar-pelajarnya menyertai perhimpunan Umno baru-baru ini bercanggah dengan alasan mereka terhadap UKM4 yang kononnya agar pelajar-pelajarnya dapat memberi tumpuan kepada pelajaran. 

By Faisal Mustaffa

Perhimpunan agung Umno baru sahaja berlalu seminggu lalu dan seperti tahun-tahun lepas, perasmian perhimpunannya agak gah dan bersemangat Melayu.

Aku agak bangga apabila dapat menjejak beberapa mahasiswa universiti tempatan khususnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terlibat secara langsung di dalam perhimpunan kali ini. UKM telah membenarkan kakitangan dan mahasiswanya terlibat dalam perhimpunan tersebut tanpa menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mengongkong perkembangan minda pelajar-pelajar untuk bergiat aktif di dalam politik.

Tetapi, agak menghairankan mengapa UKM sendiri yang mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan pelajarnya juga yang hadir ke pilihan raya kecil Hulu Selangor untuk sekadar memerhati? Mereka yang ditangkap polis itu turut juga didakwa dalam mahkamah universiti serta dilucutkan anugerah dekan.

Bagi kes malang yang berlaku terhadap empat pelajar UKM itu (sebut UKM4) [kiri], tindakan menggunakan Seksyen 15 AUKU bukan sekadar bodoh, tetapi juga dengan jelasnya menunjukkan betapa zalim dan tidak adilnya kerajaan kita. Akan tetapi, apa yang lebih berbahaya adalah pihak pentadbiran universiti itu sendiri.

UKM langsung tidak menghargai penuntutnya yang kritikal dan proaktif, sebaliknya mendakwa mereka menyokong pihak parti pembangkang semata-mata kerana memiliki risalah kempen pilihan raya Pakatan. Barangkali UKM universiti pertama di dunia yang berhasrat merosakkan masa depan penuntutnya yang proaktif dan kritikal.

Agak kurang ajar, tetapi atas kelayakan mereka dan dari segi obligasi moral untuk menggunakan perkataan ‘bodoh’ terhadap institusi yang diberikan amanah untuk mendidik dan membentuk minda-minda hebat dalam negara ini. Malangnya, institusi ini menjadi tukang turut parti pemerintah untuk menyebarkan kebodohan dengan menghalang pelajarnya daripada menjadi kritikal terhadap kerajaan. Universiti ini bukan sekadar mengkhianati pelajar-pelajarnya, tetapi turut mengkhianati negara dengan berlaku tidak adil terhadap bakat-bakat pimpinan masa hadapan.

Jelas di sini, dengan kebenaran pihak UKM terhadap pelajar-pelajarnya menyertai perhimpunan Umno baru-baru ini bercanggah dengan alasan mereka terhadap UKM4 yang kononnya agar pelajar-pelajarnya dapat memberi tumpuan kepada pelajaran.

Read more at: http://english.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2058:syabas-ukm-tidak-ambil-tindakan-terhadap-pelajar-di-perhimpunan-umno-&catid=218:faisal-mustaffa&Itemid=156



Comments
Loading...