Boon Chye: Tutup kes Bala kerana libatkan Najib-Altantuya


Oleh Mat Zahari Ali, Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Tindakan Jabatan Peguam Negara menutup siasatan terhadap dua akuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramaniam adalah disebabkan kes tersebut mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri Najib Tun Razak dan rakyat Mongolia yang di bunuh, Altantuya Shariibuu.

Ahli Parlimen Gopeng (PKR), Dr Lee Boon Chye berkata tindakan Jabatan Peguam negara tersebut bertujuan melindungi Najib yang kini telah menjadi Perdana Menteri.

“Kalau Najib betul-betul bersih mengapa takut untuk berhadapan dengan mahkamah dan undang-undang,” jelas beliau ketika dihubungi FMT hari ini.

Katanya, tindakan peguam negara yang membuat keputusan terpilih dilihat sebagai usaha memperlekeh kedaulatan sistem perundangan negara selain usaha mempertahankan Najib.

“Akuan bersumpah merupakan suatu penyataan yang dilindungi oleh perlembagaan. Apabila terdapat dua akuan yang berbeza antara akuan pertama dan akuan kedua, sudah tentu akan melibatkan satu yang benar dan satu yang tidak benar.

“Berbohong dalam akuan sumpah merupakan suatu kesalahan,” ujar beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Sistem kehakiman di bawah kekangan politik

Menurut beliau lagi, tindakan pihak kerajaan dan Jabatan Peguam Negara tersebut sekali gus memperlihatkan sistem kehakiman dan perundangan di negara ini masih berada dalam kekangan kuasa ahli-ahli politik kerajaan.

“Biarlah rakyat yang menilai semua ini,” tegas Dr Lee.

Pada 2 November lalu, Dr Lee dan Ahli Parlimen Bebas-Wangsa Maju, Wee Choo Keong mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan ke atas Bala dan bekas setiausaha sulit Anwar Ibrahim yang didapati membuat dua kenyataan bersumpah yang bercanggah.

Ketika menjawab di Parlimen, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz menjawab kes Bala telah di tutup oleh pihak peguam negara.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...