Dr M dan Lee Kuan Yew ada persamaan mereka
Antara Dr Mahathir dan Lee sebenarnya ada banyak persamaan. Kedua-dua tokoh ini misalnya percaya sistem demokrasi yang diamalkan di negara-negara maju di Barat tidak sesuai untuk negara-negara di rantau Asia.
Written by Zaki Samsudin, CPI
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pernah berkata antara tokoh zaman silam yang dikaguminya ialah pemerintah Rusia, Peter the Great, seorang Tsar yang memerintah Russia selama lebih 40 tahun, dari tahun 1672 hingga 1725.
Kehebatan Peter the Great terletak pada kejayaannya memaju dan mengembangkan empayar Rusia setaraf dengan empayar-empayar lain di benua Eropah. Di awal pemerintahannya, beliau banyak merantau meninjau kemajuan negara-negara Eropah Barat. Di Belanda misalnya, beliau mengkaji teknik pembinaan kapal dan pembangunan pelabuhan, dan di London beliau mengkaji pembangunan dan perancangan bandar. Hasilnya, pelabuhan dan armada tentera laut Rusia dimajukan dan bandar St Petersburg yang megah dan indah berjaya didirikan.
Kejayaan Peter the Great memang tidak dinafikan. Rusia sebelum dan selepas zaman pemerintahannya perbezaannya amat ketara. Jika sebelumnya Rusia lebih tertumpu pada budaya dan industri tradisi, Rusia pada zaman pemerintahan Peter the Great berubah menjadi sebuah empayar yang moden dan progresif. Pastinya banyak kemajuan yang dikecapi rakyat Rusia berpunca daripada kebijaksanaan raja mereka Peter the Great.
Semua kemajuan ini tercapai walaupun Peter the Great hakikatnya seorang pemimpin diktator yang zalim dan autokratik. Tidak ada sistem demokrasi di Rusia ketika itu. Tidak ada pilihanraya dan tidak ada kebebasan untuk bersuara. Barang siapa yang berani menentang akan dibunuh dan diseksa. Mayat-mayat mereka dipacak pada tiang agar rakyat dapat melihat nasib yang menimpa mereka yang berani menentang. Malah, sejarah telah merakamkan bagaimana Peter the Great sanggup menyeksa dan membunuh anak lelakinya sendiri yang ingkar mematuhi kehendaknya.
Bagi mereka yang mengagumi Peter the Great, segala kisah kezaliman ini barangkali tidak begitu penting. Yang lebih penting adalah kemajuan dan pembangunan negara. Penyeksaan dan pembunuhan dianggap asam garam pemerintahan. Matlamat mencapai kemajuan dan pemodenan itu yang lebih utama.
Dr Mahathir baru-baru ini telah berkata, sistem pemerintahan diktator itu adakalanya baik untuk sesetengah negara. Yang penting, pemimpin diktator itu berhati mulia dan mampu membawa kemajuan kepada rakyat di bawah pemerintahannya. Barangkali bagi Dr Mahathir, Peter the Great adalah contoh utama seorang diktator yang berhati mulia.
Pemimpin perlu ditukar ganti
Memang benar, pemimpin-pemimpin diktator dulu dan kini bukan semua tindakan mereka jahat dan kejam. Bahkan, ada yang nampak ikhlas mahu membantu rakyat jelata. Saddam Hussein misalnya, berjaya menaikkan taraf pendidikan rakyatnya di Iraq sehingga mencapai taraf yang tertinggi di Timur Tengah pada suatu ketika. Di Cuba pula, pemimpinnya Fidel Castro berjaya mengurangkan jurang kemiskinan di kalangan rakyat dan memastikan khidmat perubatan dan bantuan makanan diberikan kepada semua.
Namun, mengapa masih ramai yang tidak mahu sistem pemerintahan diktator seperti ini?
Sistem ini ditentang kerana kuasa dipusatkan kepada seorang manusia biasa yang sedikit sebanyak pasti ada kelemahannya. Seorang pemimpin yang agung, tidak kira betapa tinggi akal dan wibawanya, pasti lambat laun akan lalai dengan kedudukannya. Semakin lama beliau memerintah, semakin tinggi beliau dipuja. Akhirnya tersematlah di fikirannya beliau layak untuk terus menjadi ketua, dan dalam segala hal dan perkara beliaulah yang paling arif dan bijaksana. Maka rakyat kesemuanya hanya perlu tunduk dan patuh. Pandangan dan maklum balas daripada rakyat tidak perlu dan tidak dialu-alukan.
Sistem demokrasi tidak mahu perkara sebegini terjadi. Dalam sistem ini, kuasa diberi pada rakyat untuk memilih dan menolak pemimpin. Pemimpin adalah hamba kepada rakyat, dan di tangan rakyat terletak segala kuasa. Jika pemimpin berjasa, beliau akan disanjung. Jika beliau mengkhianati amanah yang diberi, beliau akan dipaksa mengundur diri. Sistem demokrasi percaya bahawa pemimpin negara boleh ditukar ganti. Rakyat diberi ruang dan kebebasan untuk menegur dan mengkritik pemimpinnya dan pemimpin itu harus menerimanya dengan rela hati.
Tidak ada sebenarnya seorang diktator yang benar-benar berhati mulia. Kesemuanya bersalah menghukum individu-individu yang tidak bersetuju dengan kepimpinan mereka. Ratusan ribu rakyat Iraq misalnya telah menjadi mangsa kekejaman Saddam. Castro pula begitu banyak memenjarakan orang-orang yang mengkritik dan menentangnya.
Mungkin, contoh terbaik seorang diktator berhati mulia ialah Lee Kuan Yew, bekas perdana menteri Singapura. Singapura di bawah pemerintahannya melonjak dari sebuah pulau kecil yang mundur kepada sebuah kota kosmopolitan yang maju, aman dan makmur. Namun di sebalik kejayaan Lee, ada juga kisah-kisah orang yang disekat kebebasan mereka untuk bersuara. Ramai antara mereka pernah meringkuk di penjara.