Artikel Umno kafir: Kit Siang saman Berita Harian
Oleh Jamilah Kamarudin, Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi terhadap akhbar Berita Harian berhubung artikel “Umno Kafir”.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu memfailkan saman di pejabat pendaftar melalui Tetuan Karpal Singh & Co kira-kira 2.30 petang tadi.
Lim dalam samannya menamakan penerbit, pencetak dan juga pengedar akhbar Berita Harian, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad sebagai defendan.
Dalam writ samannya, Lim mendakwa defendan telah secara salah dan berniat jahat mencetak dan menyiarkan artikel dalam Berita Harian pada 2 November lalu bertajuk ‘Tindakan Kit Siang tuduh Umno kafir melampau’.
Dalam artikel yang disiarkan itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendakwa Lim mencampuri urusan agama Islam dengan menuduh Umno kafir dalam siri ceramahnya semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 31 Oktober lalu.
Artikel Berita Harian itu dipetik berkata, DAP semakin berani mencampuri urusan agama Islam dengan menuduh orang Umno kafir dalam siri ceramah untuk menarik sokongan pengundi Melayu menyokong PAS pada pilihan raua kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Kenyataan Lim itu dibuat dihadapan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) KESEDAR Sungai Terah, artikel itu dipetik.
“Dakwaan itu palsu belaka kerana saya tidak hadir pada ceramah seperti yang didakwa Ali,” bidas Lim ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah hari ini.
Lim dalam samannya berkata dakwaan Ali itu berniat dengan maksud bahawa plaintif adalah salah seorang penjenayah yang telah melakukan satu tindakan yang mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh dihukum menurut seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Defendan juga dengan niat membawa maksud plaintif adalah seorang ahli politik yang berniat jahat untuk mewujudkan perasaan benci di kalangan masyarakat majmuk serta tidak bertanggungjawab, cuai dan tidak layak memegang jawatan sebagai ahli parlimen.
Berikutan itu, beliau menuntut ganti rugi am untuk fitnah bertulis yang disiarkan oleh defendan beserta faedah, kos, dan lain perintah selanjutnya seperti mana dianggap sesuai dan wajar oleh mahkamah.
“Artikel itu tipu dan mereka sepatutnya lebih sensitif dalam konsep 1Malaysia dengan tidak memainkan sentimen perkauman.
“Perkara ini juga dibangkitkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Parlimen hari ini.