Bagaimana Pembajakan Terjadi


DARI JELEBU

Hishamuddin Rais 

Parti Keadilan Rakyat pada ketika ini sedang mencuba melebarkan dan memperkukuhkan ruang demokrasi. Ini dilakukan dengan memberi hak kepada semua ahli-ahli PKR untuk mengundi. Setiap anggota PKR boleh mengundi dan memilih pimpinan dari ranting, cabang hingga ke pusat – satu anggota satu undi. Bunyinya cukup gah!

Tetapi hakikat yang berlaku ketika ini tidak segah mana. Kelam dan kabut sedang berlaku di mana-mana. Masih belum jelas apakah tujuan PKR memperkenalkan sistem satu ahli satu undi ini.

Pemilihan ini telah masuk ke minggu ke tiga. Setiap minggu semakin sesak dan terdesak masaalah yang mucul. Komplin dan tidak puas hati semakin lantang kedengaran. Saranan terakhir agar pemilihan ini di tangguhkan – kerana tidak diyakini ketelusannya – bukan datangnya dari orang luar parti tetapi dari Mustapha Kamal Ayub naib Presiden Parti Kadilan Rakyat sendiri.

Dalam tulisan pertama dahulu saya telah menulis bahawa dalam masa terdekat PKR ini akan dibajak oleh para cukong. Kali ini saya ingin menyambung dan memikrokan lagi hujah saya itu.

Pada minggu pertama pemilihan saya telah mengamati proses pengundian di beberapa cabang di Selangor. Saya mendapati cukup jelas sistem struktur sistem pemilihan ini telah memperlihatkan keterbukaan dimana bibit bibit politik wang boleh menerbus masuk dan menjadi barah.

Kalau dalam sistem perwakilan ‘cukong penaja politik’ hanya melabor dan membeli undi ahli perwakilan sahaja. Dalam sistem satu anggota satu undi ‘cukong’ ini perlu melabur dengan lebih lumayan untuk membeli setiap ahli dari satu negeri ke satu negeri.

Justeru, ada hujah yang mengatakan bahawa tidak mungkin ada cukong yang akan melabor untuk membeli ke semua 400,000 anggota PKR. Justeru sistem satu anggota satu undi ini lebih telus. Sistem ini lebih kukuh dan kalis dari pembajakan. Ini cakap cakap dari ibu jari kaki saya – masuk telinga kiri keluar ke lubang hidung.

Orang yang memiliki pandangan sedemikian kurang arif dalam ilmu politik ekonomi. Tidak memahami kepentingan kaum pemodal. Hujah yang tidak berasaskan kelas dan kepentingan kelas. Kaum pemodal dan para cukong juga memiliki fikrah. Jika diri mereka lembab berfikir maka dolar mereka boleh mencari dan mengupah jurufikir. Kaum pemodal, para cukong dan jurufikir mereka akan menghitung untung rugi sebelum melabor. Untuk kaum pemodal yang menjadi rukun imam mereka ialah keuntungan.

Para cukong akan melihat Selangor negeri Pakatan yang terkaya di Asia Tenggara kini di bawah puncuk pimpinan PKR. Ada berbilion dolar dan dinar sedang dilabur dalam negeri Selangor. Bayangkan, kaum pemodal dan para cukong apabila melihat Selangor pasti meleleh air liur seperti melihat China Doll berkemban di tepi katil.

Apakah tidak masuk akal jika para pelabur ini menaja tiga empat orang calon untuk menerbus ke dalam pucuk pimpinan PKR. Ini pelaburan berjangka pendek dan berjangka panjang. Para cukong melihat Parti Keadilan Rakyat dalam Pakatan Rakyat seperti anak dara sunti yang memiliki masa depan yang cerah. Masuk akal jika mereka melabor sekarang sebagai ‘faedah simpanan berjangka panjang’ jika United Malays National Organisations tersungkur rebah di bawah kopek Bik Mama.

Strateji untuk menang cukup enteng. Pada ketika ini pemusatan ahli terdapat di Sabah dan Selangor. Justeru apa yang wajib dilakukan ialah memastikan ahli-ahli parti di Selangor dan Sabah turun di hari pengundian. Kunci kemenangan ialah siapa yang berjaya menyusun dan membawa turun ahli ke meja undi maka si malaon ini akan menang.

Pada tahap ini  sang cukong hanya perlu mengeluarkan dana untuk dua buah negeri ini sahaja. Kerja politik, kempen di negeri lai adalah kerja sampingan. Undi dari wilayah ini dianggap bonus. Hadiah yang wajib dimenangi datang dari Sabah dan Selangor. Khalas. 

Wahai Dr. Watson, ini elementri Dr. Watson.

Hakikatnya dalam masa yang tidak lama lagi sesiapa yang bernawaitu untuk menjawat pimpinan PKR wajib memiliki modal yang banyak. Bermodalkan semangat perjuangan dan air liur adalah kerja gila dalam istilah politik PKR hari ini. Sosok yang memiliki kualiti pimpinan, memiliki fikrah yang cerah, jujur dan telus tidak semesti akan naik dalam struktur perlembagaan PKR yang ada masa ini.

Untuk mereka yang memiliki semangat juang dan ingin berbakti kepada nusa dan bangsa tetapi tidak berdolar – jawabnya lupakan sahaja PKR sebagai wadah perjuangan. Struktur yang diwujudkan tidak akan membenarkan cita cita ini tercapai.

Sabar! Abang dan kakak bersabar dahulu. Jangan cepat putus asa. Jalan masih luas terbuka. Biar saya tarbiahkan sejujur mungkin akan cara untuk menang. Ini tarbiah ringkas dari saya. Senang sahaja: sila cari cukong untuk menaja kempen anda!

Jangan risau hati, jangan gundah gulana bukan susah untuk mencari sang cukong. Para cukong ini sedang berkeliaran untuk mencari sosok yang baik, jujur dan berketrampilan untuk dimenangkan. Ada cukong pembuat bangunan, ada cukong pasir, ada cukong simin, ada cukong dvd, ada cukong internet, ada cukong papan iklan – ada seribu satu macam jenis  cukong yang mahu projek dan lesen mereka diluluskan.

Para cukong yang berkeliaran ini amat bersedia melabor dolar dan riyal untuk memastikan calon mereka menang. Malah para cukong ini melihat bahawa besar kemungkinan sosok yang menang ini nanti akan mendapat tempat sebagai ahli majlis. Tak perlu menjadi Adun – menjadi ahli majlis tempatan sahaja sudah memadai kerana ‘rezeki’ akan datang mencurah-curah. Sila kira berapa banyak lembaga majlis tempatan di Selangor?

Untuk melelehkan air liur sidang pembaca sekelian biar saya surahkan disini bahawa belanjawan Majlis Perbandaran Petaling Jaya lebih besar dari belanjawan negeri Perlis. ‘Ngang dan selaras’ tak ‘barang anda’ apabila  mendengar fakta ini. Pasti meleleh air liur basi sang cukong sekali lagi.

Mungkin tulisan saya ini akan dianggap pisimis seolah-olah kita tidak memiliki jalan keluar dari di bajak oleh cukong dan para pemodal. Biar saya surahkan disini secara jujur dan ikhlas bahawa nawaitu dan akidah dalam real politik tidak mencukupi. Real politik bukan tentang niat dan akidah.

Dalam real politik niat yang baik tidak semestinya membawa kebaikan. Mari kita bersama-sama menerima hakikat bahawa  kemusnahan dalam dunia ini banyak bermula dari niat dan cita cita untuk membawa kebaikan.

Justeru apakah tidak ada jalan keluar untuk umat manusia dari terus di cengkam oleh kaum pemodal? Jawabnya pasti ada. Manusia memiliki fikrah. Selagi manusia boleh berfikir maka manusia akan mencari jalan keluar.



Comments
Loading...