Bagaimana acuan, begitulah bentuk kuihnya
Aspan Alias
Akhirnya PKR bergolak kerana krisis dikalangan pimpinan parti itu sudah melebar dan pemimpin-pemimpinnya sudah tidak seiringan dan seirama. Perpecahan ini memang dijangkakan akan berlaku sejak beberapa ketika dahulu. PKR harus dan wajar menyelesaikan masalah secara drastik jika parti itu ingin menjadi parti yang relevan sebagai alternatif kepada UMNO dan BN yang juga sedang menghadapi krisis kepimpinan yang agak serius.
Datuk Zaid Ibrahim telah mengambil keputusan menarik diri dari pertandingan Timbalan Presiden parti itu kerana didapati ada banyak ketidak telusan dalam proses pemilihan jawatan dalam parti anjuran Anwar Ibrahim itu. Walaupun Zaid menyatakan yang beliau akan berada dalam PKR sebagai ahli biasa tetapi dengan tindakkan beliau akhir-akhir ini tidak lebih dan tidak kurang adalah petanda yang beliau akhirnya akan keluar dari parti yang ‘controversial’ itu.
Rungutan tentang tidak ketelusan kaedah pemilihan ini bukan sahaja di suarakan oleh Zaid tetapi juga oleh Mustafa Kamil Ayob, seorang lagi calun Timbalan Presiden dan ramai lagi pemimpin tertinggi didalam PKR. Apa yang dilakukan oleh Anwar itu adalah nilai dan budaya warisan dari UMNO semasa beliau seorang yang memegang kuasa didalam parti itu sebelum dia dipecat oleh Dr Mahathir pada 1998 dahulu. Begitu juga lah Azmin yang merupakan orang yang terhampir dengan Anwar semasa pemimpin ini dibuai oleh kenikmatan berkuasa semasa itu.
Sekarang ini penyakit yang ‘contagious’ itu merebak didalam PKR. Sesiapa juga yang dianggap membayangi kekuasaan mereka berdua akan menerima nasib malang. Ramai pemimpin asal parti itu seperti Ezam Mohad Nor, Ruslan Kasim dan yang lain-lain terpaksa meninggalkan PKR kerana ‘berlaga angin’ dengan Azmin yang gila kuasa itu. Anwar nampaknya tidak berminat untuk memperkuatkan partinya tetapi sebaleknya hanya hendak menggunakan parti itu untuk memperjuangkan nasib peribadinya untuk menjadi PM negara.
Anwar tahu PM Malaysia adalah jawatan yang paling berkuasa; malahan lebih berkuasa dari Presiden Amerika Syarikat. Anwar tahu PM Malaysia boleh memasukkan sesiapa kedalam penjara dan mengeluarkan mereka dari penjara sesuka hati. PM Malaysia adalah pemimpin yang punya ‘immunity’ terbesar, malahan ‘immunity’nya lebih besar dari seorang Raja. Jika jenayah dilakukan oleh ahli keluarga PM jenayah itu tidak akan membawa mereka kedalam penjara. Malahan PM Malaysia boleh melakukan apa sahaja yang dia suka tanpa batas.
Inilah yang diidamkan Anwar; oleh itu beliau akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya walaupun terpaksa menggunakan politik yang kotor terhadap jemaahnya sendiri. Jika pemimpin UMNO sudah luntur perjuangan mereka PKR juga dipenuhi dengan pemimpin seperti itu. Kalau sudah sampai begini ahli-ahli legislative dari PKR patut membina kembali asas perjuangan dengan memilih premis perjuangan yang lain.
Saya bersetuju pengunduran Anwar dan Azmin adalah jalan terbaik untuk yang lain kekal berjuang dalam parti itu. Jika Anwar masih berada didalamnya maka pandangan saya yang mencadangkan agar ahli-ahli legislative dari PKR mencari premise perjuangan diatas landasan yang baru amat-amat perlu dilakukan dengan segera. Ahli-ahli legislative ini mesti menjadi pemimpin yang memberikan makna kepada negara dan bukannya untuk memperjuangkan nasib seorang pemimpin yang berada dalam masalah yang beliau sendiri lakukan.
Jika Anwar tidak bersedia untu berkorban untuk PKR maka hayat PKR tidak akan kekal lama walaupun rakyat tidak memberikan sebelit mata kepada parti pemerintah. Kemungkinan besar PAS dan DAP akan bertambah kuat kerana mereka yang menyertai parti PKR itu adalah dari gulungan yang tidak menggemari UMNO atau parti-parti dalam BN.