Surat terbuka kepada Presiden, Parti Keadilan Rakyat


Besar kemungkinan parti akan berpecah akibat krisis ini dan sekali gus memusnahkan peluang Pakatan Rakyat untuk menang di PRU 13. Kemaraan ke Putrajaya akan menjadi hanya sebuah impian. 

By Illam Kubong Ak Dagang (Kuching, Sarawak)
No ahli: Q060000568

Saya telah menjadi ahli parti sejak PKR ditubuhkan. Saya dan beratus ribu lagi rakyat Malaysia telah memilih PKR sebagai wadah perjuangan politik. Kami telah menaruh harapan untuk PKR membawa perubahan kepada mutu sistem pemerintahan di negara yang tercinta ini. Harapan kami telah menggunung apabila PKR serta PAS dan DAP berjaya mencapai kejayaan yang tidak diduga pada PRU 12. Kemaraan ke Putrajaya kian menjadi realiti.

Walaubagaimanapun perkembangan-perkembangan mutakhir dalam PKR amat mencemaskan saya. Rentetan daripada pemilihan pucuk pimpinan yang sedang berlangsung, parti telah di heret ke ambang krisis. Pada hemat saya, krisis ini ialah yang paling getir pernah dihadapi oleh parti. Besar kemungkinan parti akan berpecah akibat krisis ini dan sekali gus memusnahkan peluang Pakatan Rakyat untuk menang di PRU 13. Kemaraan ke Putrajaya akan menjadi hanya sebuah impian.

Justeru itu, saya merayu dari lubuk hati saya kepada Presiden parti yang telah menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini untuk bertindak mengawal keadaan dan menyelamatkan parti. Hal-hal pemilihan parti tidak perlu dibincang dan diputuskan oleh Biro Politik kerana ramai ahli dalam Biro Politik mempunyai kepentingan dalam proses dan keputusan pemilihan. Budi bicara Presiden memadai untuk membuat keputusan muktamad atas hal-hal pemilihan.

Presiden harus menampilkan kepimpinan yang tegas dan melantik sebuah Jawatankuasa Pemilihan Parti baru dengan mandat penuh untuk menguruskan proses pemilihan secara adil dan bebas.

Ketua Umum parti mesti menghormati kedudukan dan kuasa-kuasa Presiden dan beliau sewajarnya tidak campur tangan dengan keputusan-keputusan yang diambil oleh Presiden. Sayugia diingatkan, Ketua Umum telah terlibat dalam krisis ini dan banyak pihak meragui peranan beliau dalam proses pemilihan.

Jika perlu, sebuah jawatankuasa pemandu ditubuhkan dengan mandat dari Majlis Pimpinan Pusat dan Presiden sebagai pengerusi untuk menstabilkan parti.  

Saya doakan Presiden akan berjaya dalam misi ini. Janganlah hancurkan impian kami sebagai ahli-ahli biasa untuk parti membawa perubahan kepada pemerintahan negara ini.

Sekian, Salam Reformasi.


Comments
Loading...