Pelajaran Sejarah untuk Menteri Pertahanan


Apakah kerana kurangnya penglibatan sesuatu kaum dalam bidang ketenteraan di masa aman boleh dijadikan kayu pengukur tentang kesetiaan seseorang terhadap negara?

By Lading Batagar

“Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya terdapat 903 anggota bukan Melayu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memasuki perkhidmatan itu bagi tempoh dua tahun lalu.

Kementerian mendapati penyertaan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina dan India masih berkurangan berkemungkinan disebabkan kekhuatiran terhadap disiplin yang ketat, ganjaran kurang berbanding swasta, tiada galakan daripada keluarga serta semangat patriotisme yang belum cukup tinggi,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.”

Empat kebarangkalian yang direka cipta oleh Menteri Pertahanan merangsang minda seorang bekas tentera yang pernah menyarung pakaian seragam TLDM untuk berkongsi cerita dan pendapat berdasarkan pengalaman.

“Semangat patriotisme yang belum cukup tinggi”. Lontaran minda yang kurang berhemah dari seorang menteri dengan kelulusan doktor falasafah meningatkan saya tentang perjalanan peluru berpandu yang tersasar dari matalamat. Kalau begitulah tafsiran seorang menteri terhadap patriotisme, maka izinkan saya untuk mengajukan soalan.

Apakah kerana kurangnya penglibatan sesuatu kaum dalam bidang ketenteraan di masa aman boleh dijadikan kayu pengukur tentang kesetiaan seseorang terhadap negara?

Kalau itulah tanggapan beliau, maka saya rasa terpanggil untuk mengimbau sekelumit senario di dalam Tentera Laut pada era di mana “Apa yang anda tahu” lebih penting dari “Siapa yang anda tahu”.

Selat Melaka 1974…KD Perantau, sebuah kapal ‘survey’ sebesar ‘Coastal Minesweeper’ terserempak sebuah kapal Tentera Laut Indonesia dari jenis LST (Landing Ship Tank) sedang menarik bot nelayan Malaysia menghala ke perairan mereka. KD Perantau segera meminta bantuan dari pangkalan TLDM di Woodlands. Sebuah FPB (Fast Patrol Boat) dari Perkasa Class yang sedang membuat ‘sea inspection’ di kawasan berhampiran bergegas ke tempat kejadian. Walaupun bersaiz jauh lebih kecil dari kapal ‘musuh’, namun dengan persenjataan SS-12 surface to surface missile, pegawai memerintah bot ini tidak gentar lantas mengarahkan kapal ‘musuh’ melepaskan bot nelayan Malaysia. Tindakan berani pegawai memerintah FPB tersebut  berjaya menyelamatkan bot nelayan kita dari dibawa ke perairan Negara jiran. Pegawai yang membuat ‘sea inspection’ berpangkat Komander dan bertanggunjawab ke atas tindakan berani FPB TLDM…namanya tak ada bin tapi hanya ada a/l, singkatan untuk anak lelaki.

Pangkalan TLDM, KD Malaya Woodlands tahun 1966…Dari 5 orang pelatih dalam kursus elektroniks yang melayakkan seseorang menjadi Mekanik Radio di kapal, hanya 2 orang yang ada ‘bin’. Selebihnya ada Lim, Mah dan Ng di pangkal nama.

Selat Melaka 1965…Dalam kemuncak konfrontasi, ‘Penang Governor’s Yatch’ diubah suai kepada bot  ronda dengan memasang meriam kecil dari jenis ‘Oerlikon’ di atas geladak hadapan. Walaupun ‘inferior’ dari segi persenjataan dan kelajuan, tapi PGY yang ditukar nama kepada KD Tanjong Merang begitu gah menjalankan tugas mengawal perairan negara. Seperti insiden tahun 1974, ia tidak berganjak bila berhadapan penceroboh. Semangat juang yang dipamer pegawai memerintah (CO) Lt Thiruchandran, pegawai laksana (XO) Sub Lt Loke Kok Cheong dan krew KD Tanjong Merang menjadi bualan anggota TLDM era itu.  utuhpaloi.com menyusur denai ingatan XXXII.

Selat Singapura 1964…Kalau masih ada yang meragukan ke ‘patirotisme-an’ anggota tentera laut dari pelbagai kaum, sila baca ‘extract’ ini yang ternukil dalam tinta sejarah.

 “24 Julai 1964. Semasa pemerintahan Leftenan PK Nettur telah berlaku pertempuran antara KD Sri Selangor dengan Kor Komando Penggempur Indonesia di Selat Singapura. Kejadian tersebut telah mengakibatkan Laskar kelas satu Mekanik Elektrikal Abdul Samad bin Sulaiman terkorban manakala Laskar Kanan Persenjataan Kweh Onn Cheong dan Pegawai Kadet Kanan Musa bin Jabar tercedera. Semua komando Indonesia menemui ajal.”

Royal Brittania Naval College 1955…Dari Sembilan orang pegawai kadet yang mengambil kursus dan sedia berkorban ketika Malaysia diganyang Indonesia, terdapat 3 orang India, 3 Cina, 2 Melayu dan seorang ‘gerago’. utuhpaloi.com  2 saja V only two?

Dari contoh-contoh yang diberikan, timbul persoalan…kenapa ketika itu ramai bukan Melayu sanggup berkecimpung dalam dunia ketenteraan khususnya TLDM? Apakah mereka lebih patriotik dari orang Melayu sendiri? Dan kenapa bila negara sudah aman, rakyat Malaysia bukan Melayu tidak lagi berminat  menyarung pakaian seragam tentera? Dan berkhidmat dalam sektor awam?

Respon Menteri Sumber manusia yang memberi pendapat tentang kurangnya peluang kenaikan dalam kerjaya ada rasionalnya. TLDM sendiri sebagai contoh. Sejak tahun 1967 hingga hari ini, sudah 11 orang rakyat Malaysia dilantik sebagai KTTL (Ketua Turus Tentera Laut), tapi hanya seorang bukan Melayu yang pernah memegang jawatan tersebut.

Kenapa? 

Mereka yang pernah membaca buku ‘Tiger Territory’, The Untold Story of Royal Australian Navy (RAN) in Southeast Asia, tentu arif bagaimana sukarnya pentadbir TLDM yang terdiri dari pegawai RN dan RAN meyakinkan ‘pembesar’  Malaysia bahawa  K. Thanabalasingam (Rear Admiral ‘B’) adalah calon terbaik untuk menggantikan Commodore Dollard (RAN). Kalau bukan kerana desakan orang Inggeris, tak akan tercatit nama ‘Bob Thana’ (nama jolokan beliau masa itu) sebagai Ketua Turus Tentera Laut.

Kalau trend hari ini dijadikan ukuran, tidak mustahil beliau adalah yang pertama dan terakhir dari kalangan bukan bumiputera yang memegang jawatan seperti itu. 

Hari ini, dalam kenyataan terbaru, Menteri Pertahanan menafikan pernah mempertikai kesetiaan dan integrity kaum bukan bumiputera tapi seperti kata pepatah Melayu, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

Hari ini, rakyat Malaysia bukan saja arif membaca yang tersurat, tapi arif juga merungkai yang tersirat. 

 



Comments
Loading...