PAS perlukan strategi dan pemain baru


(Harakahdaily) – Sekurang-kurangnya tiga laporan dari tiga pihak yang berasingan tersiar dalam media yang meminta PAS mencari pendekatan dan strategi baru tanpa perlu mengubah dasarnya ekoran kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil Galas jika masih bercita-cita mahu melangkah ke Putrajaya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pensyarah yang juga penganalisis politik dari UKM, Ghazali Mayudin dan bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefli Ahmad membuat cadangan yang sama tetapi dari perspektif yang berbeza.

Ketiga-tiga mereka memberikan amaran, jika PAS ingin menang dalam pilihan raya akan datang, satu strategi baru perlu disusun.

Mereka bimbang, pendekatan lama bukan sahaja boleh menggagalkan PAS ke Putrajaya bahkan juga boleh kehilangan kerajaan negeri termasuk Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Tuan Ibrahim, dalam kolum Minda Naib Presiden Harakahdaily berkata, PAS perlu keluar dari strategi lama dan merancang strategi baru ekoran kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil Galas baru-baru ini.

“Apapun, bedah siasat akan dilakukan bagi menyusun strategi, bukan sekadar mencari kesilapan, kamudian menyimpan di dalam fail tanpa mengambil manfaat daripada postmortem tersebut. Itulah kebiasaan yang berlaku.

“Saya lihat PAS perlu keluar dari strategi lama yang tertumpu kepada ceramah umum yang dihadiri oleh penyokong sendiri bahkan sebahagian besarnya bukan pengundi,” kata beliau dalam ruangan itu.

Bagi beliau, gerakan mendekati pengundi rumah ke rumah perlu dibanyakkan kerana ia lebih tertumpu bahkan sebagai tugasan tetap muslimat dan nisa’.

Manakala golongan ulamak jangan pula tertumpu di masjid dan surau untuk memberikan tazkirah kepada ahli PAS, sedangkan pengundi sasaran belum berjaya dipecahkan, katanya.

“PAS tidak boleh ganti Umno dalam kerangka yang lama.Berdasarkan senario politik semasa, PAS baru dengan pendekatan yang baru, kaedah yang baru mungkin boleh. Tapi PAS yang sedia ada agar sukar untuk menggantikan Umno,” kata Ghazali Mayudin dalam forum ‘PAS ganti Umno’ di Shah Alam baru-baru ini.

Beliau juga berkata, PAS harus bersedia berubah mengikut kehendak masyarakat tanpa perlu mengubah dasar Islam yang diperjuangkan.

Perubahan tersebut juga perlu menyeluruh, bukan bersifat cebisan sahaja, tambah beliau.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefli Ahmad dalam tulisannya dalam akhbar The Edge Financial Daily berkata, PAS dan Pakatan Rakyat perlukan pendekatan politik baru dalam gerakannya.

Politik baru, kata Dr Dzul,  didefinasikan sebagai demokrasi yang berasaskan pengundi diberikan maklumat untuk membuat keputusan dari media yang diperkasakan khasnya media baru.

Pendekatan ini, katanya, akan menyebabkan politik lama akan terhakis pengatuhnya.

 



Comments
Loading...