Hanya 1.16% tanah milik Melayu
Agak menakutkan melihat nasib orang Melayu di Pulau Pinang hari ini kerana di bawah kepimpinan kerajaan DAP sekarang, agensi amanah yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum Melayu di negeri itu menghadapi kesukaran untuk menjalankan projek.
Utusan Online
DAERAH Timur Laut merupakan kawasan yang paling pesat membangun di negeri Pulau Pinang. Ia kini muncul sebagai pusat komersial terbesar di negeri itu sekali gus menyaksikan kaum Cina menumpu di daerah tersebut.
Penumpuan kaum Cina di kawasan bandar yang kini meliputi hampir seluruh daerah itu bermula sejak kedatangan Francis Light pada 1786 yang mana beliau bertanggungjawab membawa masuk banyak imigran dari China.
Kesannya adalah apa yang kita lihat sekarang iaitu daerah Timur Laut kini mempunyai penduduk majoriti Cina.
Perkembangan itu memperlihatkan kaum Melayu yang telah ada di pulau tersebut ‘ditolak’ ke kawasan yang lebih jauh dari pesisir pantai Timur Laut. Ini menyebabkan banyak kaum Melayu menumpu ke kawasan Barat Daya yang mana Balik Pulau merupakan salah satu kawasan majoriti berpenduduk Melayu.
Situasi tersebut sekali gus menjawab kenapa kaum Melayu hampir tidak memiliki tanah di daerah Timur Laut.
Ini dibuktikan dengan statistik terkini yang menunjukkan hanya 1.16 peratus kaum Melayu memiliki tanah di daerah tersebut, berbanding kaum bukan Melayu sebanyak 19.84 peratus. Peratusan lain tanah dimiliki oleh syarikat, agensi dan kerajaan negeri.
Faktor yang menyebabkan kaum Melayu kurang mampu memiliki tanah di daerah tersebut adalah kerana harga tanah yang terlalu tinggi. Jika ada pun kaum Melayu memiliki tanah yang ‘sekangkang kera’ itu, ia adalah tanah yang diwarisi daripada datuk dan nenek moyang mereka sejak ratusan tahun lalu.
Untuk memiliki tanah baru adalah mustahil bagi kaum Melayu Pulau Pinang memandangkan ada tanah terutama di Georgetown berharga RM400 sekaki persegi.
Ini menyebabkan kaum Melayu tidak ramai yang tinggal di daerah tersebut yang juga merupakan pusat komersial utama di Pulau Pinang.
Jika diteliti dari aspek ekonomi, memang satu kerugian besar kepada kaum Melayu yang tidak mampu membeli rumah dan tanah di daerah tersebut. Ketidakmampuan itu juga adalah kerana harga rumah yang terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh kaum Melayu.
Rata-rata seunit rumah bertingkat iaitu pangsapuri kos sederhana dan pangsapuri mewah ditawarkan pada harga antara RM300,000 hingga RM500,000 seunit. Malah, ada yang menjangkau harga melebihi RM1 juta seunit. Rumah atas tanah pula seperti rumah berangkai, rumah teres dan banglo pula ditawarkan pada harga yang lebih mahal, iaitu melepasi tujuh angka.
Harga yang terlalu tinggi itu bukan sahaja menyebabkan kaum Melayu tidak mampu memilikinya, malah kaum Cina juga begitu. Ini kerana kebanyakan penduduk Cina yang kaya dan profesional kini lebih suka berhijrah ke luar negara.
“Saya ada banyak kawan berketutunan Cina yang bekerja sebagai jurutera di kilang-kilang di sekitar Bayan Lepas berhijrah ke luar negara, khususnya Australia,” kata seorang penduduk, Fatimah Ariffin yang telah bermastautin di Pulau Pinang sejak 21 tahun lalu.
Faktor semakin ramai golongan profesional Cina dan kaya raya berhijrah ke luar negara diakui oleh Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk.
Faktor berhijrah ke luar negara dan mempunyai anak yang sedikit dalam kalangan penduduk Cina menyebabkan jumlah penduduk majoriti Pulau Pinang hari ini adalah kaum Melayu.
Sumber daripada Jabatan Perangkaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan Statistik Penduduk Pulau Pinang Bagi Tahun 2009 adalah 44.89 peratus penduduk bumiputera, manakala penduduk Cina sebanyak 44.27 peratus.
“Sungguhpun majoriti penduduk Pulau Pinang sekarang adalah kaum Melayu, tetapi jumlah mereka di bahagian pulau masih tidak dapat mengatasi jumlah penduduk Cina.
“Ini kerana orang Melayu tidak mampu membeli rumah yang terlalu mahal di pulau terutama di daerah Timur Laut. Ia sekali gus memaksa mereka memiliki hartanah di Seberang Prai.
“Mereka (orang Melayu) hanya berulang-alik dari seberang ke pulau untuk bekerja. Selain itu, kebanyakan kaum Melayu di daerah ini adalah kakitangan kerajaan. Dengan gaji kakitangan kerajaan, mana mereka mampu membeli rumah di sini,” katanya.
Menurutnya, kaum Melayu juga didapati lebih selesa tinggal di tanah besar kerana selain faktor harga rumah yang jauh lebih murah, mereka juga boleh memiliki rumah atas tanah seperti rumah teres, rumah berangkai atau banglo.
Katanya, faktor keselesaan hidup di rumah atas tanah turut mempengaruhi kaum Melayu berpindah ke tanah besar.
Keadaan itu juga katanya membuatkan kehadiran orang Melayu di daerah Timur Laut tidak ada kesan untuk mewujudkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melayu di situ.
“Dari aspek politik, apa yang patut wakil rakyat Barisan Nasional buat adalah mempertahankan kerusi yang sedia ada. Ini kerana kajian mendapati agensi amanah yang dianugerahkan tanah untuk bumiputera di daerah itu tidak mempunyai tanah yang cukup untuk bawa masuk orang Melayu (pengundi) ke Timur Laut,” katanya.
Beliau juga berkata, kebanyakan tanah milik agensi amanah bumiputera pula terletak di kawasan yang tidak strategik sekali gus gagal menarik minat kaum Melayu untuk menetap di situ.
“Orang lebih suka tinggal di kawasan yang ada aktiviti ekonomi yang aktif. Kawasan seperti itu pula banyak terletak di pusat-pusat komersial di tengah bandar, sedangkan tidak ramai Melayu mampu tinggal di bandar.
“Keadaan ini menyebabkan lama kelamaan kehadiran orang Melayu di bandar dengan sendirinya akan terhakis,” katanya.
Agak menakutkan melihat nasib orang Melayu di Pulau Pinang hari ini kerana di bawah kepimpinan kerajaan DAP sekarang, agensi amanah yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum Melayu di negeri itu menghadapi kesukaran untuk menjalankan projek.
“Projek-projek yang dijalankan oleh pihak swasta pula semuanya lebih menjurus kepada meraih keuntungan yang berlipat kali ganda. Ini menyebabkan mereka hanya mendirikan projek pangsapuri mewah yang berharga lebih daripada RM300,000 seunit.
“Pada harga itu, tentulah orang Melayu tidak mampu membelinya. Lama kelamaan juga, orang Melayu dengan sendirinya akan berpindah ke seberang, sekali gus menghakis pemilikan hartanah di bahagian pulau,”tambahnya.
Azeem menegaskan, oleh kerana faktor yang menolak orang Melayu keluar ke seberang adalah ekonomi maka meningkatkan pencapaian ekonomi kaum Melayu perlu menjadi agenda utama pemimpin Melayu hari ini.
“Selagi orang Melayu tidak ada kuasa ekonomi dan kuasa beli sebagaimana kaum Cina, maka selagi itulah orang Melayu Pulau Pinang akan ketinggalan dan terus terpinggir,” katanya.