Pucuk Pimpinan Parti punca kemelut pemilihan PKR


Aktivis Reformasi kecewa apabila melihat pucuk pimpinan lebih mementingkan jawatan dan pangkat serta kedudukan selesa di sisi Anwar Ibrahim daripada mengambil peduli rintihan serta keluhan anggota bawahan. Semua permasalahan yang dibangkitkan oleh anggota bawahan dianggap remeh dan tidak penting.

By Salam Reform

Aktivis Reformasi berasa terpanggil untuk mengambil tanggungjawab memberitahu pucuk pimpinan parti umumnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah bahawa apa yang berlaku kepada parti hari ini adalah berpunca dari pimpinan parti di peringkat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berlebihan bermain politik demi kepentingan peribadi daripada berusaha membina parti menjadi sebuah organisasi politik yang benar-benar demokratik melalui pemilihan 1 ahli 1 undi.

Pucuk pimpinan mesti mengambil tanggungjawab penuh atas krisis dan kemelut perpecahan serta pergaduhan yang berlaku akibat kegagalan mengendalikan pemilihan parti secara adil dan telus. Imej parti sebagai sebuah gerakan rakyat yang menuntut perubahan serta reformasi kini tercalar teruk, sekaligus menggugat keyakinan anggota dan rakyat Malaysia terhadap Parti Keadilan Rakyat.

Aktivis Reformasi kecewa apabila melihat pucuk pimpinan lebih mementingkan jawatan dan pangkat serta kedudukan selesa di sisi Anwar Ibrahim daripada mengambil peduli rintihan serta keluhan anggota bawahan. Semua permasalahan yang dibangkitkan oleh anggota bawahan dianggap remeh dan tidak penting. Pimpinan parti tidak bersungguh-sungguh untuk menangani permasalahan yang dibangkitkan. Semua permasalahan tidak diselesaikan secara tuntas dan bertanggungjawab; hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dan sampah disapu masuk bawah karpet, asalkan tidak menjejaskan kedudukan pemimpin tinggi parti.

Sejak awal pemilihan parti lagi, kelemahan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Sekretariat Ibu Pejabat dalam mengendalikan pemilihan, dan ketidakupayaan untuk menyediakan satu persekitaran pertandingan yang adil dan sama rata bagi semua pihak yang bertanding sering dibangkitkan. Gesaan agar JPP diperkemas tidak dipedulikan. Desakan supaya pemilihan ditangguh juga dibakulsampahkan.

Sehingga hari ini isu manipulasi undi yang berlaku di Libaran, Sandakan, Batu Sapi, Tawau serta Kubang Pasu tidak dijawab. Begitu juga aduan tentang salahlaku JPP di Teluk Intan dan Gopeng. Apa penyelesaian kepada isu penipuan undi yang dibangkitkan di pemilihan cabang Langkawi? Apa laporan siasatan terhadap isu undi lebih dari jumlah keluar mengundi yang berlaku di Lembah Pantai, Hulu Selangor, Kelana Jaya dan Kelang? Bagaimana pula dengan isu pengundi hantu di Kota Raja dan Penampang apabila dibuktikan bahawa manipulasi daftar anggota berlaku untuk membolehkan penyokong pemimpin tertentu mengundi lebih dari sekali?

Dalam pada itu:

i. Di Cabang Alor Gajah, ada surat pengakuan daripada ahli yang mendakwa beliau telah diberi kad ahli orang lain untuk mengundi.
ii. Di  Kelana Jaya, semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC), pengundi dibenarkan mengundi walaupun terdapat perbezaan maklumat diri dalam buku daftar pengundi.
iii. Di Cabang Merbok (ada rakaman visual) menunjukkan Pengawas memangkah kertas undi serta mengarahkan pengundi memilih calon tertentu.
iv. Di Cabang Bayan Baru dan Kubang Pasu, Pengawas mengarahkan pusat mengundi ditutup selama setengah jam selepas tamat tempoh mengundi. Dalam tempoh tersebut, tiada wakil calon dibenarkan berada dalam pusat mengundi. Wakil calon hanya dibenarkan masuk apabila proses pengiraan dimulakan.
v. Di Cabang Langkawi, AJK cabang menyediakan dan mengisi borang bagi pendaftaran ahli baru dan ada yang terus dibenarkan masuk mengundi. Ahli PAS juga turut mengundi. Yang tidak jadi ahli pun mengundi dengan menandatangani bagi pihak ahli lain yang tidak hadir semata-mata untuk menunjukkan peratusan keluar mengundi yang tinggi.
vi. Apa pula tindakan yang diambil apabila TV3 melaporkan di Buletin Utama secara visual bagaimana pengawas pemilihan mengajar anggota untuk memangkah calon tertentu.
vii. Dalam masa yang sama, bagaimana pula blogger Haris Ibrahim boleh menyampaikan berita tentang pembocoran kertas undi. Sejauh manakah tahap keselamatan kertas undi sehingga begitu mudah ianya dibocorkan?
viii. Bagaimana boleh pula JPP sewenang-wenangnya membenarkan penangguhan pemilihan bagi cabang Silam yang dibuat hanya 48 jam sebelum masa pengundian? Apakah prosedur penghantaran notis yang ditetapkan dalam perlembagaan parti, sehingga begitu mudah Sekretariat membuat keputusan dengan menerima alasan keletihan susulan pilihan raya kecil Batu Sapi, yang sudah tentu tidak adil bagi anggota lain di Batu Sapi yang ingin mengundi?
ix. Kenapa pula tidak dimaklumkan tentang proses pengundian yang tiba-tiba diadakan di Ibu Pejabat, yang kononnya melibatkan pengawas pemilihan dan petugas pilihan raya Batu Sapi?
x. Di manakah penjelasan JPP tentang cabang Kota Bharu, Tumpat, Langkawi dan Hulu Selangor yang mengundi lewat dari waktu yang ditetapkan oleh sebab kesilapan teknikal oleh JPP? Apa akan kita lakukan sekiranya SPR lewat membuka pusat pengundian? Adakah kita akan bertoleransi dengan SPR atau kita akan kutuk SPR habis-habisan?
Aktivis Reformasi mengetengahkan sebahagian dari permasalahan yang diketahui umum tetapi tidak ditangani oleh JPP dan pimpinan parti. Aktivis Reformasi juga sangat yakin bahawa tidak ada pasukan pemantau yang mengesahkan setiap proses pemilihan telah dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan. Kalau ada, di mana dan apakah status laporan-laporan tersebut?

Aktivis Reformasi mengingatkan pucuk pimpinan bahawa implikasi dari pemilihan ini sangat besar. Tindakan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan parti memberi iktibar terbesar, yakni ia disebabkan kegagalan untuk mewujudkan sebuah pemilihan yang bersih dan adil. Mahu atau tidak mahu pucuk pimpinan mesti menjawab semua isu-isu yang berbangkit. Sikap mendiamkan diri untuk meredakan kemelut akan menyerlahkan sikap tidak bertanggungjawab pucuk pimpinan parti.

Tindak-tanduk pucuk pimpinan amat mengecewakan bilamana rintihan ahli tidak dipedulikan akan tetapi usaha untuk mengutuk Dato’ Zaid Ibrahim digiatkan bagi mengalih pandangan anggota dari isu sebenar iaitu kepincangan pemilihan parti yang kerap dibangkitkan.

Aktivis Reformasi dengan ini mendesak pucuk pimpinan untuk melakukan sesuatu bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan semua pihak terhadap segala kemelut yang timbul. Protes yang bertalu-talu ini berpunca dari sikap dan tindak tanduk pucuk pimpinan parti yang jelas memperkosa prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni yang selama ini menjadi asas dokongan gerakan Reformasi. Kegagalan pucuk pimpinan untuk mengambil sebarang tindakan atau memberi jawapan dan laporan yang memuaskan akan menyebabkan semakin banyak protes secara terbuka atau secara senyap menghantui masa depan perjuangan parti.

Sekian, Salam Reformasi.



Comments
Loading...