Kongres PKR ke-7 bakal dicemari protes?
Oleh Jamilah Kamarudin, Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Kongres Nasional 2010 Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ketujuh yang bermula esok sehingga Ahad (28 November) bakal dicemari dengan protes daripada sekumpulan ahli parti itu sendiri bagi membantah kepincangan sepanjang proses pemilihan berlangsung.
Melaungkan slogan ‘Kempen Selamatkan Keadilan’, kumpulan yang dikenali sebagai Suara Anak Muda itu difahamkan akan memakai baju T berwarna hitam, selain riben ‘headband’ dan ‘armband’ yang sama warna sebagai tanda protes.
FMT juga difahamkan kira-kira 100 penyokong Suara Anak Muda akan mula mengedarkan risalah kepada perwakilan, pemerhati, media dan orang ramai sepanjang Kongres PKR yang dijadualkan berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula esok.
Selain risalah, riben, ‘armband’ dan ‘headband’ yang tertera perkataan ‘Selamatkan Keadilan’ turut diedarkan di perkarangan dewan bagi meraih sokongan.
“Risalah itu mengandungi fakta serta bukti kepincangan sepanjang proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat dan juga Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC).
“Dalam kempen risalah itu juga, kita mahu Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim diselamatkan dari terus dikellilingi oleh individu berkepentingan yang menjadi penasihat tidak rasmi (campur tangan) Anwar sehingga menimbulkan banyak keputusan yang tidak sepatutnya daripada beliau dan Biro Politik,” kata sumber dalaman kumpulan itu.
Tidak timbul benci terhadap perjuangan PKR
Kempen itu katanya, bertujuan untuk menarik perhatian pemimpin tertinggi termasuk Presiden PKR dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) supaya mendengar keluhan mengenai proses pemilihan MPP yang dikatakan sebagai demokrasi namun didapati tidak bersifat telus.
“Kerunsingan Pemilihan 2010 ini sedikit pun tidak menimbulkan rasa benci terhadap perjuangan PKR, cuma perasaan benci yang meluap-luap itu hanyalah terhadap penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam JPP.
“Lebih menjengkelkan apabila ianya seolah-olah dibiarkan berlaku. Apabila keadilan itu dinafikan dalam parti yang berlandaskan Keadilan – apakah makna Keadilan?,” soal beliau.