Anak cabar Bapak buktikan kejujuran


Oleh Fazy Sahir, Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) yang baru ditubuhkan perlu membuktikan bahawa penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu bukan “gimik politik” semata-mata, sebaliknya menjadi pemudah cara dalam membantu menyelesaikan masalah peneroka Felda.

Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata penilaian terhadap Bapak akan dibuat dengan 20 kes pertama, yang akan diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, pada 29 November ini di lobi parlimen.

Katanya, 20 kes itu sejajar dengan janji Bapak bahawa penyelesaian bagi aduan dan cadangan dikemukakan warga Felda akan diselesaikan dalam tempoh paling minimum antara seminggu atau dua minggu hari bekerja.

“Penubuhan Bapak adalah satu kejayaan buat Anak. Ada Bapak maka mudah untuk Anak ketengahkan isu soal dasar agar kerajaan selesaikan.

“Ini ujian penilaian kejujuran untuk Bapak sama ada ia hanya gimik politik atau sebaliknya. Kita akan hantar 20 kes pertama kepada mereka… nak lihat jika Bapak terima dan selesaikan atau ia seperti jangkaan kami ia tidak lebih daripada apa yang Anak lakukan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Penubuhan Bapak pada 21 November lalu dilihat sebagai alternatif baru menyalurkan aduan dan pendapat untuk warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sekiranya terdapat sebarang masalah, perkara dan isu yang membabitkan warga peneroka.

Bapak yang merupakan biro di bawah Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) berfungsi untuk membantu menjelaskan dan menyelesaikan sesuatu isu itu dengan lebih cepat.

Peneroka untung jika Bapak berjaya

Menurut Mazlan, jika penyelesaian kes seperti dijanjikan oleh Ahmad Maslan sebelum ini, maka ia secara tidak langsung memberi keuntungan kepada warga peneroka.

“Jika Bapak mampu selesaikan seperti yang mereka katakan… maka peneroka yang dapat untung,” katanya.

Sementara itu, Mazlan menjelaskan dua program terbesar bakal dianjurkan Anak pada penghujung tahun ini.

Salah satu di Kemaman, Terengganu, iaitu himpunan kebangkitan rakyat tertindas pada 3 dan 4 Disember ini yang turut dihadiri pada NGO, peguam serta warga peneroka felda dan Felcra.

Selanjutnya Di Sini.



Comments
Loading...