Surat Terbuka Kepada YB Saifuddin dan Teman Reformis
By Abdul Aziz Anon
Hakikat tidak boleh diselindung lagi. Nampaknya memang ada pertembungan serius para bangsawan PKR dengan ahli-ahli akar umbi. Ahli mendesak, pemimpin bertahan dengan penafian. Ahli dakwa pemilihan PKR tipu, Pemimpin kata tidak, semuanya sempurna, hebat, adil lagi bersih; kita menempa sejarah, semua parti di Malaysia ini tidak segagah kita.
Saya mengutuk sikap dan mempersoalkan kewibawaan Setiausaha Agung, YB Saifuddin Nasution. Saya berpendirian YB Saifuddin adalah ‘mangsa’, daripada seorang pemimpin yang disegani kini menjadi pemimpin paling dibenci gara-gara pemilihan PKR. YB Saifuddin adalah mangsa kepada ketamakan aliran politik merajakan Azmin Ali dan mendewakan Anwar Ibrahim.
YB Saifuddin,
Ingin saya beritahu YB dan sahabat-sahabat perjuangan sekalian, huru-hara PKR ini adalah ciptaan pimpinan parti. Tidak ada penyakit tetapi cari penyakit. Dulu orang tidak tahu kita ada pekong, kurap dan kusta. Sekarang semua orang dah tahu. Ini kerana pemimpin tidak sedar diri – nak petik bintang tapi kail panjang sejengkal.
YB Saifuddin dan teman-teman reformasi sekalian.
Keadilan tidak ada pada Parti Keadilan.
Asas kepada undang-undang adalah keadilan dan keadilan mesti dilihat pelaksanaannya – Justice must be seen to have been done.
Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak wajar menjadi badan penyiasat bagi segala aduan yang diterima kerana timbul percanggahan kepentingan (conflict of interest) memandangkan ada aduan yang mempersoalkan tata kerja JPP sendiri. Kita minta JPP menyiasat kesalahan yang JPP sendiri buat, mana mungkin JPP akan mengeluarkan kenyataan mengatakan “Selepas kami menyiasat diri kami sendiri, kami mendapati kami telah melakukan kesalahan”.
JPP dan juga Biro Politik dianggotai oleh calon-calon yang sedang bertanding dalam pemilihan, seperti Azmin Ali, Shamsul Iskandar, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Manikavasagam, Johari Abdul dan lain-lain. Mereka adalah orang yang sama yang dikaitkan dalam aduan dan mesti dikecualikan, akan tetapi Biro Politik berperanan sebagai penyiasat dan kadang-kadang hakim. Mana mungkin pimpinan Biro Politik Parti akan menyatakan “selepas kami menyiasat aduan terhadap salah laku kami, kami dapati kami memang salah dan patut dihukum”.
YB Saifuddin,
Saya tidak jelas apakah definisi ‘bukti kukuh’ bagi JPP dan Biro Politik? Laman web FreeMalaysiaToday memaparkan gambar yang jelas menunjukkan daftar pengundi tidak bersih dan banyak duplikasi. Laman yang sama memaparkan jelas gambar pengawas pemilihan sedang manipulasi undi. Gambar tersebut pula baru didedahkan semalam. Tidak sampai 24 jam selepas gambar tersebut disiarkan, YB Saifuddin dalam sidang media menafikan bahawa pengawas itu tidak mungkin buat salah. Mana YB Saifuddin tahu? Apa piawai prosedur penyiasatan? Apa mekanisma penyiasatan yang dibuat? Semuanya tidak jelas dan tidak dijelaskan. Tiba-tiba muncul Setiausaha Agung dengan keputusan yang sangat meragukan.
Jangan berpura-pura dengan kebenaran demi merajakan Azmin dan mendewakan Anwar.
Hari ini, sempena Kongres Keadilan yang ke-7, saya juga mempersoalkan kewibawaan YB Saifuddin sebagai Setiausaha Agung dalam menangani isu dakwaan bekas Setiausaha Agung sebelumnya, bahawa Sekretariat Ibu Pejabat mengeluarkan satu surat palsu dengan memalsukan tandatangan bekas Setiausaha Agung itu bagi tujuan mencipta bukti bagi menghalang S. Jenapala dari bertanding.
YB Saifuddin,
Sebagai Setiausaha Agung, kenyataan “saya tidak tahu, buka fail ada surat, jadi kira jalanlah…” yang diucapkan dalam sidang media semalam adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab oleh saudara.
YB Saifuddin,
Dakwaan bekas Setiausaha Agung itu mengikut pendedahan MalaysiaToday sangat panjang lebar beserta fakta, affidavit dan bukti. Isu ini menggusarkan anggota dan jika benar dakwaan tersebut, pihak ibu pejabat memang sekali mengecewakan anggota dan tentu sekali mengaibkan parti.
Keadilan semacam hanya pada nama sahaja.
Abdul Aziz Anon