Anwar akui silap letak calon
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui parti itu meletakkan calon yang tidak begitu baik pada pilihan raya umum lalu, tetapi menyatakan terdapat hikmah di sebalik kegagalan pembangkang menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, ada yang menjadi calon itu hanya mahukan jawatan dan kontrak saja.
Katanya, terdapat calon yang diletakkan, selepas memenangi pilihan raya keluar daripada parti.
“Bagus dia lompat, sebab itu parti akan bersih… golongan ini bila rasa nak menang, akan bertanding,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada penutup Kongres Nasional (PKR) di sini, semalam.
Beliau berkata, kongres itu penting kerana percaya ia yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 berdasarkan serangan yang didakwanya dilakukan BN terhadap PKR.
“Ini last lap sebabnya kita diserang bertubi-tubi,” katanya.
Beliau turut mempertikaikan konsep ketuanan Melayu dengan mendakwa konsep itu menggalakkan rasuah dan ketidakadilan.
Yang anehnya, kata beliau, ada ‘pecacai’ yang mempertahankan rasuah yang berlaku melalui amalan konsep itu.